PETALING JAYA: Kerajaan memberi amaran keras bahawa sebarang bentuk pencerobohan tanah tanpa kebenaran tidak akan dipandang ringan kerana berupaya menjejaskan perancangan pembangunan negara serta kepentingan rakyat secara menyeluruh.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, amalan tatakelola yang baik perlu terus dipertahankan.
Beliau berkata, sebarang bentuk pencerobohan tanah tanpa kebenaran tidak boleh dipandang ringan kerana boleh menjejaskan perancangan negara serta kepentingan rakyat.
“Justeru, aspek penguatkuasaan perlu terus diperkukuh, manakala sebarang isu berkaitan yang dibangkitkan oleh pihak berkepentingan, termasuk badan bukan kerajaan (NGO).
“Ia perlu ditangani dengan segera agar maklumat yang tepat dan telus dapat disampaikan secara menyeluruh dan berkesan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) Ke-83.
Anwar berkata, urus tadbir tanah tidak boleh lagi hanya tertumpu kepada keuntungan ekonomi atau pembangunan fizikal semata-mata.
“Pengurusan tanah mesti dilaksanakan secara berhemah dan terancang bagi meminimumkan risiko terhadap kelestarian alam sekitar.
“Kerajaan Madani akan terus memastikan setiap inisiatif pengurusan tanah dilaksanakan secara bertanggungjawab demi manfaat rakyat terbanyak,” katanya.
Tambahnya, kerajaan memberi amaran keras bahawa sebarang bentuk pencerobohan tanah tanpa kebenaran
“Ia tidak akan dipandang ringan kerana berupaya menjejaskan perancangan pembangunan negara serta kepentingan rakyat secara menyeluruh,” katanya. – UTUSAN











