KUALA NERUS: Pengalaman bertahun-tahun dalam dunia pekerjaan kini boleh menjadi laluan untuk melangkah ke menara gading apabila Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) sebagai Pusat Penilaian APEL.A (PPA) Terbuka bagi mengendalikan penilaian Accreditation of Prior Experiential Learning for Access (APEL.A).
Pengiktirafan itu meletakkan UniSZA sebagai satu-satunya Pusat Penilaian APEL.A (Terbuka) di Pantai Timur yang menawarkan penilaian sehingga Tahap T-8 bagi akses ke peringkat pengajian kedoktoran, sekali gus membuka peluang lebih luas kepada golongan bekerja dan masyarakat yang mempunyai pengalaman, pengetahuan serta kemahiran untuk melanjutkan pengajian melalui laluan alternatif.
Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Fadzli Adam berkata, pengiktirafan berkenaan merupakan satu lagi langkah penting universiti dalam memastikan peluang pendidikan tinggi dapat dinikmati oleh kumpulan masyarakat yang lebih luas, termasuk golongan profesional dan tenaga kerja berpengalaman.
“Pendidikan tidak seharusnya terbatas kepada satu laluan sahaja. Di luar sistem pendidikan formal, terdapat ramai individu yang telah membina pengetahuan, kompetensi dan kepakaran melalui pengalaman pekerjaan selama bertahun-tahun.
“Melalui APEL.A, pengalaman itu boleh dinilai secara sistematik sebagai laluan untuk mereka kembali ke universiti, meningkatkan kelayakan akademik dan seterusnya memperluas peluang pembangunan kerjaya,” katanya.
Menurut beliau, inisiatif tersebut juga mencerminkan aspirasi UniSZA untuk menjadi sebuah universiti yang inklusif, responsif terhadap keperluan masyarakat dan mampu memberikan impak secara langsung kepada pembangunan modal insan negara.
“UniSZA mahu membuka pintu seluas-luasnya kepada mereka yang mempunyai keupayaan dan potensi untuk maju. Pengalaman yang dibina dalam dunia pekerjaan mempunyai nilai yang besar dan APEL.A menyediakan mekanisme untuk mengiktiraf pengalaman tersebut sebagai sebahagian daripada laluan mereka ke pendidikan tinggi.
“Ini amat signifikan kepada masyarakat di Terengganu dan Pantai Timur kerana mereka kini mempunyai akses lebih dekat kepada penilaian APEL.A tanpa menjadikan latar belakang akademik terdahulu sebagai satu-satunya ukuran kemampuan seseorang untuk melanjutkan pengajian,” katanya.
APEL.A merupakan satu mekanisme yang membolehkan pengalaman pembelajaran terdahulu seseorang, termasuk pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh melalui pekerjaan serta pengalaman lain yang berkaitan, dinilai bagi tujuan mendapatkan akses ke sesuatu program pengajian.
Ini bermakna individu yang tidak memenuhi syarat kemasukan akademik secara konvensional masih berpeluang memohon untuk mengikuti pengajian tinggi berdasarkan penilaian terhadap kompetensi dan pengalaman yang telah dimiliki.
Keistimewaan PPA UniSZA juga terletak pada sifatnya sebagai PPA Terbuka. Penilaian yang dilaksanakan bukan hanya untuk calon yang ingin melanjutkan pengajian di UniSZA, malah turut terbuka kepada individu yang berhasrat memohon kemasukan ke institusi pengajian tinggi lain di seluruh negara.
Pelaksanaan PPA di UniSZA diurus dan diselaras oleh Pusat Pemindahan Ilmu dan Pendidikan Berterusan (P2P), sekali gus memperkukuh peranan pusat itu dalam memperluas akses kepada pendidikan fleksibel dan pembelajaran sepanjang hayat.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UniSZA, Prof. Dr. Zuhairah Ariff Abd Ghadas, berkata pelaksanaan APEL.A turut melengkapi ekosistem akademik universiti dengan menyediakan laluan kemasukan alternatif kepada calon yang mempunyai pengalaman dan kompetensi bersesuaian.
“APEL.A memberi ruang kepada universiti untuk melihat potensi seseorang secara lebih menyeluruh. Kelayakan formal kekal penting, namun pengalaman, pengetahuan dan kompetensi yang diperoleh dalam persekitaran pekerjaan juga boleh menjadi asas yang bernilai untuk seseorang kembali mengikuti pendidikan tinggi,” katanya.
Bagi calon yang ingin memohon kemasukan ke UniSZA melalui APEL.A, program yang ditawarkan merangkumi bidang pengajian kontemporari Islam, bahasa dan komunikasi, informatik dan komputeran, sains sosial gunaan, perniagaan dan pengurusan, undang-undang dan hubungan antarabangsa serta sains kesihatan, tertakluk kepada program, syarat kemasukan dan ketetapan semasa yang berkuat kuasa.
Calon yang memperoleh sijil APEL.A juga boleh menggunakannya untuk memohon kemasukan ke program yang bersesuaian di institusi pengajian tinggi lain, tertakluk kepada syarat kemasukan dan ketetapan institusi berkenaan.
Ditubuhkan sebagai sebuah universiti awam pada 2006, UniSZA kini beroperasi menerusi tiga kampus utama di Terengganu iaitu Kampus Gong Badak di Kuala Nerus, Kampus Perubatan di Kuala Terengganu dan Kampus Besut di Tembila.
Kedudukan UniSZA sebagai PPA APEL.A (Terbuka) di Pantai Timur dijangka memberi manfaat khususnya kepada tenaga kerja dan komuniti di Terengganu, Kelantan dan Pahang yang mahu meningkatkan tahap pendidikan serta membina mobiliti kerjaya melalui pengiktirafan terhadap pengalaman yang telah mereka kumpulkan.
Dengan pengiktirafan itu, UniSZA bukan sahaja memperkukuh kedudukannya dalam landskap pendidikan tinggi Pantai Timur, malah memperluas peranan universiti sebagai pemangkin mobiliti sosial dengan menjadikan pengalaman dunia pekerjaan sebagai satu lagi jambatan menuju pendidikan tinggi. – UTUSAN











