Sheet mask harian boleh rosakkan lapisan pelindung kulit

Sheet mask harian boleh rosakkan lapisan pelindung kulit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Penggunaan sheet mask setiap hari semakin menjadi trend dalam rutin penjagaan kulit, terutama dalam kalangan individu yang mahu mengekalkan kulit yang lembap dan kelihatan segar.

Memuatkan artikel berkaitan…

Namun, amalan tersebut tidak semestinya sesuai untuk semua jenis kulit kerana pemakaian terlalu kerap atau terlalu lama boleh menjejaskan lapisan pelindung kulit atau skin barrier.

Ketua Pegawai Eksekutif Klinik Lovina, Mejar (B) Dr. Hamidah Mohd. Salleh berkata, kesesuaian penggunaan sheet mask perlu mengambil kira keadaan kulit, individu yang mempunyai kulit normal dan sihat boleh menggunakannya setiap hari, tertakluk kepada tempoh pemakaian yang betul.

“Bagi kulit yang normal dan sihat, penggunaan harian boleh diterima. Tetapi mesti jangan pakai lebih 20 minit. Jika kulit berminyak, berjerawat, sensitif atau mengalami ekzema, terutama rosacea, tidak disarankan untuk dipakai setiap hari.

“Sebenarnya pakai setiap hari ini tak ada kajian pun, hanya perlu dipakai dua hingga tiga kali seminggu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, pengguna tidak seharusnya mengikut trend ‘daily sheet mask’ semata-mata tanpa mengambil kira keperluan kulit kerana penggunaan berlebihan boleh meningkatkan risiko iritasi dan kerosakan lapisan pelindung kulit.

Boleh rosakkan lapisan pelindung kulit

Katanya, penggunaan sheet mask terlalu kerap boleh menjejaskan lapisan pelindung kulit, sekaligus menyebabkan kulit menjadi merah, kering dan gatal.

Penggunaan yang terlalu kerap juga boleh meningkatkan risiko keradangan atau tindak balas alahan, terutama akibat bahan seperti pewangi dan pengawet yang terdapat dalam sesetengah produk.

Bagi individu yang mempunyai kulit berminyak pula, pemakaian sheet mask secara berlebihan boleh menyebabkan keadaan occlusive, iaitu kulit terlalu tertutup untuk tempoh yang lama.

Keadaan itu berpotensi menyebabkan lebih banyak masalah seperti folikulitis atau jangkitan pada folikel rambut.

Beliau berkata, pengguna juga tidak seharusnya menganggap semakin lama sheet mask dibiarkan pada wajah, semakin banyak kelembapan yang dapat diperoleh.

“Terlalu banyak pun tidak bagus. Sebenarnya lapisan pelindung kulit kita hanya memerlukan 10 hingga 30 peratus air. Kalau terlalu lama, air terlalu banyak, dia akan melemahkan struktur lapisan pelindung kulit.

“Memang ada kajian kalau kita pakai lebih 25 minit memang menyebabkan lapisan pelindung kulit kita rosak,” jelasnya.

Pedih, merah tanda tidak sesuai

Dr. Hamidah berkata, pengguna perlu peka terhadap perubahan pada kulit selepas menggunakan sheet mask kerana beberapa tanda boleh menunjukkan produk tersebut tidak sesuai atau sudah menyebabkan iritasi.

Antara tanda awal yang boleh berlaku ialah rasa pedih atau panas ketika menanggalkan mask, diikuti kulit menjadi merah, gatal serta muncul bintik-bintik kecil atau jerawat, terutama di bahagian dahi dan dagu.

“Kadang-kadang lepas kita buka, mula-mula nampak merah-merah, gatal yang baru. Lepas itu bintik-bintik kecil. Saya nampak selalu jerawat-jerawat kecil, terutama dekat dahi dan dagu.

“Lepas pakai dia akan rasa tegang dan kering. Lepas itu, kulit jadi sensitif pula pada produk yang sebelum ini tak sensitif,” katanya.

Kemunculan tanda berkenaan tidak seharusnya dianggap sebagai tindak balas biasa selepas menggunakan sheet mask kerana ia boleh menunjukkan kulit sudah mengalami kerengsaan.

Justeru, penggunaan perlu dihentikan sekiranya kulit mula menunjukkan tanda tersebut dan pengguna disarankan mendapatkan pemeriksaan doktor, terutama jika keadaan berterusan atau bertambah teruk.

“Kalau dah iritasi, kalau dah merah, jangan pakai. Terutama kulit rosak, sensitif, berjerawat, jangan pakai sheet mask hari-hari. Pakai dua hingga tiga kali seminggu sahaja. Jangan pakai terlalu lama,” ujarnya.

Jangan tidur dengan sheet mask

Kesilapan yang sering dilakukan pengguna ialah membiarkan sheet mask terlalu lama pada wajah, termasuk memakainya sehingga tertidur kerana menyangka tempoh pemakaian yang lebih panjang akan memberikan manfaat yang lebih baik.

Sheet mask perlu ditanggalkan mengikut tempoh yang disarankan dan tidak dibiarkan pada wajah semalaman.

Selepas menanggalkan sheet mask, lebihan serum yang masih terdapat pada wajah boleh ditepuk perlahan sehingga meresap sebelum disusuli dengan penggunaan krim penjagaan lapisan pelindung kulit.

Bagi individu yang mempunyai kulit sensitif, beliau turut menyarankan supaya melakukan ujian tampalan terlebih dahulu bagi memastikan produk berkenaan sesuai digunakan.

Sheet mask juga perlu digunakan pada kulit yang bersih dan tidak ketika wajah masih bersolek bagi mengurangkan risiko berlakunya kerengsaan.

Berhati-hati dengan sumber bahan

Pada masa sama, pengguna Islam turut disarankan supaya mengambil perhatian terhadap sumber bahan yang digunakan dalam sesetengah sheet mask, terutama produk yang mengandungi bahan seperti kolagen dan plasenta.

Walaupun produk dari Korea sering dianggap berkualiti, pengguna perlu lebih teliti kerana tidak semestinya mengetahui sumber sebenar bahan yang digunakan dalam sesuatu produk.

“Walaupun kita pergi ke Korea, kita kata mask dia bagus, sebenarnya banyak mask yang kita ragu sumbernya.

“Kadang-kadang, terutama sekali ada kolagen, plasenta, sebab sumber itu kita takut daripada cadaver,” katanya.

Cadaver merujuk kepada mayat manusia yang boleh menjadi sumber bagi bahan tertentu.

Justeru, pengguna Islam disarankan supaya tidak memilih produk hanya berdasarkan populariti atau negara asal, sebaliknya meneliti label serta sumber bahan yang digunakan sebelum membeli dan menggunakannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN