Hampir 10,000 warga Myanmar dihantar pulang dari Malaysia

Hampir 10,000 warga Myanmar dihantar pulang dari Malaysia

KAPAL-kapal yang membawa pulang kira-kira 1,500 warga Myanmar yang ditahan di Malaysia untuk kembali ke negara asal. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YANGON: Hampir 10,000 warga Myanmar dihantar pulang dari Malaysia tahun ini, sehari selepas konvoi kapal yang membawa kira-kira 1,500 rakyatnya berlabuh di negara itu.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengkritik usaha Malaysia menghantar pulang pendatang ke Myanmar menerusi skim yang tidak telus, yang menurut badan dunia itu tidak dapat menjamin kepulangan mereka dengan selamat ke negara yang dilanda perang.

Seramai 1,476 individu tiba dengan kapal di luar Yangon pada Ahad, dalam kumpulan pertama daripada 5,000 orang yang menurut Kuala Lumpur dipersetujui Myanmar untuk menerima semula.

Memuatkan artikel berkaitan…

Langkah itu dilaksanakan ketika sentimen anti-pendatang di Malaysia semakin meningkat.

Pemantau hak asasi manusia turut melahirkan kebimbangan bahawa anggota minoriti Rohingya mungkin dihantar pulang ke Myanmar, tempat mereka berdepan penganiayaan ganas.

Bagaimanapun, Malaysia tidak memberikan ulasan mengenai etnik individu yang dihantar pulang.

Terdahulu, Myanmar mendedahkan usaha penghantaran pulang yang lebih besar turut dilaksanakan menerusi penerbangan.

Akhbar milik kerajaan, The Global New Light of Myanmar, melaporkan seramai 8,041 rakyat negara itu dihantar pulang melalui udara antara Januari hingga Ogos tahun ini.

Walaupun penghantaran pulang menggunakan kapal mendapat liputan meluas di Malaysia, Putrajaya tidak memberikan sebarang ulasan mengenai proses penghantaran pulang yang didakwa oleh Myanmar sebagai usaha yang diuruskan melalui penerbangan mingguan.

Jumlah keseluruhan migran yang menurut Myanmar dihantar pulang melalui laluan udara dan laut tahun ini ialah 9,517 orang.

Malaysia menegaskan individu yang dihantar pulang menerusi skim berkenaan bersetuju untuk pulang secara sukarela dari pusat tahanan, selepas Myanmar mendakwa mereka berdepan kesukaran di pusat berkenaan selepas menjalani hukuman atas kesalahan imigresen.

Bagaimanapun, kumpulan hak asasi manusia melaporkan keadaan di pusat tahanan berkenaan amat buruk.

Agensi pelarian PBB pula berkata kakitangannya tidak dibenarkan mengesahkan sama ada keputusan untuk pulang dibuat secara sukarela dan berdasarkan maklumat yang mencukupi.

Lebih 100,000 orang dianggarkan terbunuh di Myanmar sejak rampasan kuasa tentera pada 2021 mencetuskan perang saudara, menurut organisasi pemantau konflik, ACLED.

Golongan Rohingya mula melarikan diri secara beramai-ramai ke Malaysia sebelum itu bagi menyelamatkan diri daripada tindakan keras tentera yang bermula pada 2017.

Kumpulan hak asasi manusia menyifatkan tindakan keras berkenaan sebagai genosid, dakwaan yang sentiasa dinafikan pihak angkatan bersenjata Myanmar.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN