PETALING JAYA: Bedah siasat terhadap seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun yang ditemukan meninggal dunia di sebuah sekolah di Yong Peng, Batu Pahat, Johor, semalam mendapati punca kematian adalah trauma tumpul pada kepala.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, bedah siasat telah dijalankan oleh pakar patologi forensik Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat, semalam.
Menurutnya, PDRM turut memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara menyeluruh, telus dan profesional tanpa sebarang elemen ‘cover-up’ atau melindungi mana-mana pihak.
“Kes masih dalam peringkat siasatan dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau memberikan komen yang boleh mengganggu proses siasatan serta memanipulasi fakta sehingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
“Setakat ini, pihak sekolah dan Kementerian Pendidikan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada PDRM dalam siasatan kes ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, siasatan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, Johor, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Jika disabitkan kesalahan, Seksyen 302 memperuntukkan hukuman mati atau penjara bagi tempoh tidak kurang daripada 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun.
“Jika hukuman mati tidak dijatuhkan, pesalah juga boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang daripada 12 kali,” jelasnya.
Dalam kejadian itu, seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat ditemui maut dipercayai dibunuh di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, Batu Pahat, Johor sini, 3 Oktober lalu.
Mangsa berusia 16 tahun ditemui neneknya yang datang ke sekolah berkenaan selepas menyedari cucunya tidak pulang ke rumah kira-kira pukul 5.30 petang.-UTUSAN











