Bukan semua pelaburan itu peluang

Bukan semua pelaburan itu peluang

PELABURAN bukan sekadar mengejar keuntungan, sebaliknya perlu disertai kefahaman, semakan dan penilaian sebelum membuat keputusan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM kehidupan yang semakin dipengaruhi media sosial serta teknologi digital, perkataan ‘pelaburan’ semakin mudah menarik perhatian. Tawaran menggandakan wang, memperoleh pendapatan pasif atau mencapai kebebasan kewangan dalam tempoh singkat sering muncul di pelbagai platform.

Memuatkan artikel berkaitan…

Namun, tidak semua yang kelihatan seperti peluang pelaburan benar-benar wajar diterima.

Pelaburan bukan sekadar melihat pulangan yang dijanjikan, sebaliknya memahami produk, risiko, pihak yang menawarkan serta kesesuaiannya dengan kemampuan kewangan sendiri.

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) secara berkala mengemas kini Senarai Amaran Pelabur yang menyenaraikan entiti, individu, laman sesawang dan produk pelaburan yang tidak dibenarkan.

Pada 15 September lalu, SC menambah satu lagi entiti. Namun, senarai itu bukanlah lengkap. Justeru, semakan perlu dibuat sebelum wang diserahkan.

Janji keuntungan konsisten, modal terjamin atau pulangan berganda dalam masa singkat mudah menarik perhatian. Secara umum, potensi pulangan lebih tinggi lazimnya datang bersama risiko lebih tinggi.

Apabila tawaran menjanjikan pulangan sangat tinggi tetapi mendakwa risikonya hampir tiada, pelabur wajar berhenti seketika.

Fenomena takut ketinggalan (FOMO) turut menjadi cabaran apabila kejayaan pelaburan sering dikongsi di media sosial. Apa yang dipaparkan biasanya hasil positif, sedangkan kerugian dan risiko mungkin tidak ditunjukkan.

Keputusan kerana takut terlepas peluang boleh menyebabkan seseorang bertindak tergesa-gesa tanpa menilai kesesuaiannya dengan keadaan kewangan sendiri. Pelaburan sepatutnya menjadi sebahagian daripada perancangan kewangan, bukannya perlumbaan mengejar keuntungan paling cepat.

Sebelum melabur, kenal pasti pihak yang menawarkan serta semak sama ada individu atau entiti berkenaan mempunyai lesen atau kebenaran diperlukan. Senarai Amaran Pelabur SC boleh dijadikan rujukan tetapi ketiadaan sesuatu nama daripada senarai itu bukan pengesahan automatik bahawa tawaran berkenaan selamat.

Pelabur juga perlu memahami bagaimana wang akan dilaburkan. Jika penerangan tidak jelas atau sukar disahkan, jangan terburu-buru membuat keputusan. Istilah seperti ‘jaminan keuntungan’, ‘peluang terhad’ atau ‘perlu masuk segera’ wajar diberi perhatian.

Dalam perspektif kewangan Islam, pelaburan turut berkait dengan amanah, keadilan, ketelusan dan pengurusan risiko. Prinsip syariah mengelakkan unsur riba, perjudian dan ketidakpastian yang dilarang.

Peluang pelaburan akan sentiasa datang dan pergi. Tidak semuanya perlu dikejar. Prinsip mudah yang boleh diamalkan ialah faham sebelum labur, semak sebelum percaya dan nilai sebelum mengejar. -UTUSAN

DR. NORAZWA AHMAD ZOLKIFLI @ UDA
Pensyarah, Jabatan Perdagangan,
Politeknik Nilai

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN