PUTRAJAYA: Lebih banyak ciri akan diperkenalkan menerusi aplikasi MyJPJ mulai bulan depan sebagai sebahagian usaha Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menambah baik perkhidmatannya secara digital.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ketika ini transaksi penggunaan MyJPJ sedang meningkat, justeru aplikasi berkenaan akan terus dikemas kini dan diperkasakan bagi membolehkan lebih ramai pengguna berurusan secara terus dengan JPJ tanpa melalui pihak ketiga.
“Transaksi MyJPJ telah meningkat dengan agak pesat. Sebab itu kita terus mengemas kini dan terus menambah baik MyJPJ. Jadi mulai bulan depan, lebih banyak ciri akan diperkenalkan untuk MyJPJ.
“Akhirnya kita berharap kebanyakan pengguna boleh menggunakan MyJPJ secara terus dengan JPJ dan tidak perlu melalui mana-mana pihak ketiga. Ini adalah matlamat kita,” katanya menerusi sidang akhbar berhubung penjelasan penggantungan perkhidmatan MYEG dan Zetrix AI Berhad sebagai ejen pemungut JPJ di sini hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, peralihan kepada penggunaan MyJPJ perlu dilakukan secara berperingkat kerana kira-kira 20 peratus pengguna masih menggunakan perkhidmatan ejen pemungut seperti MyEG dan Pos Malaysia.
Menurut beliau, ejen pemungut masih diperlukan khususnya di kawasan luar bandar kerana sebahagian pengguna masih mendapatkan perkhidmatan di pejabat pos untuk urusan seperti pembayaran lesen dan cukai jalan.
“Selain MyEG kita ada Pos Malaysia. Terutamanya di kawasan luar bandar, mereka masih memerlukan perkhidmatan pos dekat pejabat pos untuk memperbaharui lesen, membayar cukai jalan dan sebagainya,” katanya.
Tambahnya lagi, perkhidmatan ejen pemungut bukan perkara baharu kerana ia telah wujud sejak kira-kira 20 tahun lalu apabila kerajaan mula beralih kepada penggunaan pembayaran secara elektronik.
Loke turut menjelaskan ejen pemungut lain tidak mempunyai masalah dari segi pembayaran dan memenuhi obligasi kepada kerajaan, termasuk Pos Malaysia, berdasarkan pemeriksaan terkini yang dijalankan pihaknya.
“Ejen-ejen lain tak ada masalah, mereka bayar ikut sepatutnya obligasi mereka. Saya dah buat pemeriksaan terkini, tak ada apa-apa tunggakan daripada mana-mana ejen lain termasuk Pos Malaysia dan sebagainya. Ya, kecuali satu sahaja,” katanya. – UTUSAN











