KUALA LUMPUR: Pempengaruh dan selebriti media sosial, Cikgu Zack Kirana atau nama sebenarnya Saliza Ibrahim, menegaskan pembentukan sahsiah dan akhlak anak-anak perlu bermula dari rumah, bukannya diserahkan sepenuhnya kepada pihak sekolah.
Menurutnya, sekolah sememangnya memainkan peranan penting dalam memberikan nilai tambah kepada perkembangan anak-anak termasuk dari aspek ilmu pendidikan dan disiplin, namun tanggungjawab utama membentuk akhlak serta sahsiah tetap terletak pada ibu bapa.
“Pembentukan sahsiah anak-anak bermula dari rumah. Sekolah ialah institusi yang memberikan nilai tambah yang lain seperti ilmu pendidikan, disiplin hidup dan sebagainya. Jadi, kalau anak sudah berperangai serupa syaitan dan tidak ada hati perut, tanya mak ayah dahulu. Baru tanya cikgu.
“Walau hebat macam mana pun cikgu-cikgu dapat menghidu perangai murid-murid, peranan cikgu sangat terhad kerana mereka bukan anak kita. Untuk membina akhlak dan sahsiah ini, hampir 100 peratus bermula dari rumah,” katanya.
Zack berkata demikian dalam satu hantaran di Threads yang disifatkan sebagai satu bentuk luahan kemarahan, kesedihan dan kekecewaan terhadap isu melibatkan salah laku serta jenayah membabitkan kanak-kanak dan remaja.
Zack turut berharap sekiranya pelaku jenayah bawah umur terlepas daripada tindakan tertentu, ibu bapa mereka tidak seharusnya terlepas daripada tanggungjawab untuk melihat semula peranan mereka dalam pembentukan anak-anak.
“Maaflah, saya marah betul ini. Betul-betul marah, sedih, geram. Kalau pelaku jenayah bawah umur terlepas, harap-harap mak ayah tak terlepas. Generasi sekarang dah makin sakit!” katanya.
Dalam pada itu, Zack mengakui tahap keselamatan di sekolah sememangnya perlu ditambah baik bagi memastikan keselamatan murid terus terpelihara.
Bagaimanapun, katanya, usaha meningkatkan kawalan keselamatan di sekolah sahaja tidak memadai sekiranya masalah pembentukan sahsiah tidak ditangani dari peringkat keluarga.
“Ya, sekolah kena tambah baik tahap keselamatan. Tetapi kalau anak sudah jahat, dalam longkang belakang perumahan pun dia tetap boleh buat jahat pada anak orang!” katanya.
Pengacara ini pada masa sama menegaskan tanggungjawab membentuk peribadi anak bukan sesuatu yang boleh dipindahkan sepenuhnya kepada guru kerana masa dan ruang guru bersama murid adalah terhad berbanding peranan ibu bapa di rumah.











