Disebalik nama besar ratu squash negara, berdiri seorang wanita bergelar ibu yang jarang tampil menceritakan liku cabaran yang dilalui dalam melahirkan juara dunia, Datuk Nicol Ann David.
Ann Marie David,66,berkata sebagai ibu tiada yang lebih membimbangkan apabila terpaksa melepaskan anak gadisnya yang baru berusia 19 tahun ke Amsterdam bersendirian demi menjalani latihan squash secara lebih intensif di bawah bimbingan jurulatih Liz Irving.
Selama 16 tahun berjauhan daripada keluarga, Ann Marie berkata, anak bongsunya itu sering menghubunginya untuk berkongsi cerita dan pengalaman pahit dan manis sepanjang berada di perantauan.
“Ramai melihat kejayaan Nicol, tetapi tidak ramai mengetahui cabaran dan pahit getir dilaluinya. Antaranya, dia pernah terjatuh ketika berbasikal ke tempat latihan hingga mulutnya berdarah.
“Sebagai ibu, saya hanya mampu berdoa, memberi semangat dan meyakinkannya supaya tidak berputus asa kerana ibu sentiasa ada bersamanya,” katanya.
Ann Marie mengakui tidak pernah memaksa tiga anak perempuannya termasuk Nicol dalam melakukan apa saja yang mereka minati. Malah ketiga-tiga anaknya bijak mengatur masa dalam akademik mahupun bermain squash.
“Saya bangga anak-anak kini berbakti kepada masyarakat. Dua kakak Nicol juga guru. Dulu kami tidak mampu menghantarnya ke Amsterdam, namun bantuan Khazanah sebagai penaja banyak membantu.
“Selepas bersara, Nicol mahu membalas jasa dengan menubuhkan Little Legends. Ibu bapa hanya mahu anak berjaya dalam bidang yang diminati, bukan memaksa sehingga mereka tertekan,” katanya ketika ditemui pada majlis Ibu Legends anjuran Nicol David Organization (NDO) yang dihadiri 300 ibu baru-baru ini.

Ibu jadi inspirasi
Nicol berkata, ibunya seorang yang sentiasa baik hati dan bekerja keras. Walaupun dalam kesibukan menjalankan amanah sebagai seorang guru bahasa Inggeris, dia masih pergi ke pasar dan memasak setiap hari.
“Itulah yang saya lihat pada ibu sebagai inspirasi. Dia sentiasa ada untuk saya dan dua kakak, selain seorang yang merendah diri serta tidak mudah berputus asa.
“Dia selalu berpesan, menang atau kalah dalam skuasy bukan ukuran utama, sebaliknya yang penting ialah mempunyai hati yang baik,” katanya.
Peranan ibu tidak mudah
Selebriti, Scha Al Yahya pula berpandangan, pada awalnya dia menyangka tugas ibu mudah iaitu hanya perlu menjaga anak-anak dan memasak. Namun sangkaannya meleset selepas bergelar ibu.
“Melihat apa yang ibu lakukan, kita rasa mampu mengikutinya. Namun, selepas bergelar ibu, banyak perkara perlu dipelajari kerana setiap hari hadir dengan cabaran baharu.
“Saya sentiasa mengingatkan diri bahawa kita boleh berkongsi dan bercerita dengan orang yang dipercayai. Walaupun seseorang kelihatan kuat secara fizikal, belum tentu dia mampu menanggung beban emosi dan mental yang tidak kelihatan,” katanya.
Ibu Legends hargai jasa ibu
Nicol David Organisation (NDO) meraikan 300 ibu pada majlis Ibu Legends Summit 2026 yang didedikasikan untuk ibu-ibu yang berhak dilihat, diraikan dan disokong.
Bertemakan “You Are the Cover Star”, sidang kemuncak tahun kedua itu memberi ruang kepada para ibu untuk belajar, berhubung, berkongsi pengalaman dan meraikan diri mereka di luar peranan sebagai ibu serta penjaga.
Sempena program itu, pencarian Ibu Cover Star Search turut diadakan dengan menjemput para ibu berkongsi gambar rutin harian serta kisah yang mencerminkan perjalanan, cabaran dan aspirasi mereka.
Nor Santy Samsinoor, 47, muncul sebagai juara dengan kisah ketabahannya melahirkan dan membesarkan enam anak termasuk Naura Ayra, anak syurganya.
“Naura dilahirkan pada 17 April 2023 dan disahkan mengalami sindrom Down serta masalah jantung. Doktor memberitahu keadaannya kritikal dan boleh pergi bila-bila masa. Dia turut dirawat selama dua bulan setengah di wad.
“Mula-mula saya rasa sedih, namun saya banyak belajar darinya mengenai erti kehidupan, kesabaran dan kekuatan,” katanya.
Kisah kesabaran ibu tunggal, Siti Kusnawati Nazira Hussin, 42, berdepan kerenah anak remaja membolehkannya meraih tempat kedua.

Selepas sembilan tahun pemergian suami, Kusnawati yang juga ibu kepada tiga anak, berdepan konflik anak gadis yang ingin hidup bebas sedangkan sebagai ibu, dia sentiasa ingin melindungi mereka.
“Sehingga satu masa, saya membiarkan dia memilih jalan sendiri dan belajar bahawa hidup sendirian di luar sentiasa penuh cabaran dan tidak seindah yang disangka. Akhirnya dia memilih untuk pulang ke pangkuan saya dan mengakui kesilapannya,” katanya.
Tempat ketiga dimenangi suri rumah, Nur Aqidah Hamdan, 30,yang juga ibu kepada dua anak yang menghantar gambarnya sedang memasak.
Dilancarkan pada 2024, Ibu Legends menyokong ibu B40 menerusi inisiatif berkaitan kesejahteraan, pembangunan diri dan komuniti.
Sejak itu, program berkenaan memberi manfaat kepada lebih 300 ibu, termasuk dua kohort baharu pada 2026 menerusi bengkel berkaitan kesihatan mental, keibubapaan, pemakanan, kesejahteraan fizikal dan literasi kewangan.











