Suara guru juga perlu didengar

Suara guru juga perlu didengar

USAHA meningkatkan kualiti pendidikan akan menjadi lebih bermakna sekiranya semua warga sekolah berasa dihargai dan selamat untuk bersuara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Telefilem Budak Dikir yang disiarkan sempena sambutan Hari Malaysia baru-baru ini menarik perhatian saya, bukan sahaja kerana kisah sekumpulan murid di sekolah berasrama penuh tetapi juga watak Cikgu Hassan yang dilakonkan Azizul Ammar Abu Hassan, warga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kisah Ti Shan diejek kerana kurang fasih berbahasa Melayu dan Haidar yang berkonflik dengannya memperlihatkan bagaimana hubungan murid boleh berubah apabila mereka diberi ruang untuk bekerjasama melalui pertandingan dikir barat.

Watak Cikgu Hassan pula mengingatkan tugas guru bukan sekadar memastikan peraturan dipatuhi. Lebih penting, guru perlu memahami perkara di sebalik tingkah laku murid dan mencari ruang untuk membantu mereka berubah.

Dalam konteks sekolah, kita sering bercakap tentang kepentingan suara murid. Memberikan ruang kepada mereka untuk menyampaikan pandangan dan maklum balas dapat membantu sekolah memahami pengalaman pembelajaran daripada perspektif mereka.

Namun, kita juga perlu bertanya siapakah yang mendengar suara guru?

Guru merupakan golongan yang paling dekat dengan realiti bilik darjah. Mereka mengenali murid, berhadapan dengan ibu bapa serta melaksanakan pelbagai perubahan dan dasar pendidikan.

Justeru, suara mereka juga perlu diberikan ruang, malah guru perlu berasa selamat untuk bersuara tanpa bimbang pandangan mereka dianggap sebagai kelemahan atau ancaman.

Begitu juga dalam menilai prestasi sekolah. Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan data penting untuk mengukur kemajuan tetapi angka tidak semestinya menggambarkan keseluruhan realiti. Setiap sekolah mempunyai latar murid, kekuatan guru, kepimpinan dan cabaran yang berbeza.

Kepercayaan menjadi asas kepada semua ini. Apabila guru dan pentadbir berasa didengar, dihargai dan disokong, mereka lebih terbuka menerima maklum balas serta bersama-sama mencari penyelesaian.

Suara memerlukan kepercayaan. kepercayaan membuka ruang kolaborasi. kolaborasi pula membawa kepada penambahbaikan.

Justeru, apabila kita memberikan ruang kepada murid untuk bersuara, jangan sampai guru pula hilang suara.

Sekolah yang baik bukan yang tiada masalah tetapi berani mengakui masalah, bersedia mendengar warganya dan mempunyai kepercayaan untuk menyelesaikannya bersama-sama. –UTUSAN

SAMIHA MOHD. SALLEH
Kota Tinggi, Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN