Tanggungjawab bersama jaga hutan

Tanggungjawab bersama jaga hutan

HUTAN perlu diurus secara lestari bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan generasi akan datang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini, pelbagai isu berkaitan perubahan cuaca dan alam sekitar semakin memberi kesan kepada kehidupan rakyat Malaysia. Antaranya ialah masalah jerebu yang seolah-olah masih belum mempunyai penyelesaian jangka panjang.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut laporan media, kejadian jerebu berpunca daripada pembakaran hutan di negara jiran. Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan kualiti udara yang dihirup, malah boleh memberi kesan kepada kesihatan manusia, sektor ekonomi dan pendidikan.

Setakat ini, masih belum kelihatan mekanisme yang benar-benar ampuh untuk menangani masalah tersebut secara berkesan dalam jangka panjang.

Manusia yang rasional sememangnya memahami hutan di sekeliling kita perlu dijaga, dipelihara dan dipulihara supaya terus lestari, bukan sahaja untuk generasi hari ini tetapi juga masa hadapan. Malangnya, hutan bukan sekadar berdepan ancaman kebakaran, malah turut ditarah dan digondolkan untuk pelbagai tujuan, termasuk pembukaan tanah secara haram bagi kegiatan pertanian.

Penerokaan secara haram turut dilaporkan berlaku di kawasan Hutan Simpan Kekal Tasik Bera apabila lebih 7,000 hektar kawasan tersebut diterokai untuk tujuan pertanian.

Penerokaan serta pembakaran hutan boleh membawa kemudaratan besar kepada manusia, termasuk meningkatkan risiko banjir dan tanah runtuh. Kejadian seperti ini pernah berlaku di Malaysia dan tidak mustahil berulang pada masa hadapan sekiranya pengurusan alam sekitar tidak diberikan perhatian sewajarnya.

Kerugian akibat bencana bukan sahaja melibatkan negara dari segi ekonomi, malah rakyat turut menerima kesannya. Keuntungan daripada penerokaan yang tidak terkawal mungkin dinikmati segelintir pihak tetapi kesan kerosakan alam sekitar terpaksa ditanggung masyarakat secara keseluruhan.

Dalam konteks ini, pengurusan hutan yang baik perlu dilaksanakan dengan melibatkan semua pihak berkepentingan.

Pengurusan hutan secara lestari, termasuk memanfaatkan pengetahuan tradisi masyarakat Orang Asli, amat penting dalam mengurus risiko perhutanan serta memastikan kelestarian hutan Malaysia terus terpelihara.

Pengetahuan tradisional berkaitan pengurusan hasil hutan bukan kayu boleh diketengahkan sebagai sebahagian daripada pendekatan bersepadu negara.

Pendekatan ini dapat mengimbangi keperluan pemeliharaan alam sekitar, kesejahteraan sosial dan pembangunan ekonomi, selari dengan agenda global berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Melalui pendekatan bersepadu, aktiviti pemburuan haram juga dapat dikurangkan, sekali gus membantu melindungi hidupan liar yang menjadi sebahagian daripada ekosistem hutan Malaysia.

Pada masa sama, komuniti tempatan, khususnya Orang Asli, boleh menerima manfaat melalui peningkatan kesejahteraan dan penglibatan mereka dalam pengurusan sumber hutan.

Pendekatan ini turut menyumbang kepada usaha penyerapan karbon serta pemeliharaan kawasan tadahan air. Pemeliharaan fungsi ekologi hutan penting bagi memastikan manusia terus menikmati udara yang bersih dan sumber air yang berkualiti, selain mengekalkan keseimbangan keseluruhan ekosistem.

Justeru, satu rangka kerja atau model tadbir urus yang menyatukan aspek keadilan sosial, kestabilan alam sekitar dan kemakmuran ekonomi perlu dibangunkan serta dilaksanakan. –UTUSAN

 

DR. ROHATI SHAFIE & PROFESOR MADYA DR. ROHAMI SHAFIE
Quest International University & Universiti Utara Malaysia (UUM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN