Institusi pengajian tinggi perlu mudahkan urusan warga akademia

Institusi pengajian tinggi perlu mudahkan urusan warga akademia

ZAMBRY Abd Kadir merasmikan Majlis Sambutan Hari dan Bulan Akademia Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya hari ini. UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Institusi pengajian tinggi (IPT) perlu memudahkan urusan warga akademia termasuk mengurangkan beban pentadbiran dan pertindihan pelaporan yang boleh membantutkan perkembangan dunia akademik.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, usaha mencapai kecemerlangan akademik perlu disertai dengan penyediaan ekosistem yang membolehkan ahli akademik memberikan tumpuan kepada tugas utama mereka.

Menurutnya, masa, tenaga dan kepakaran warga akademia seharusnya dapat digunakan untuk pengajaran, penyelidikan, penyampaian ilmu serta perkara yang memberi manfaat kepada pelajar dan masyarakat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tuntutan terhadap kecemerlangan mesti disertai perhatian terhadap keadaan kerja mereka (akademia). 

“Masa untuk membaca, berfikir, membimbing dan menyelidik ialah keperluan asas untuk menghasilkan pengajaran serta penyelidikan yang bermutu.

“Justeru, saya menyeru kepimpinan institusi supaya meneliti beban pentadbiran, mengurangkan pertindihan pelaporan dan memudahkan urusan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari dan Bulan Akademia Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di Universiti Malaya, hari ini.

Zambry berkata, dunia akademik bukan hanya tertumpu kepada aspek pengajaran dan pembelajaran, sebaliknya turut merangkumi penyelidikan serta pemindahan ilmu kepada masyarakat.

Katanya, hasil penyelidikan dan kepakaran yang terdapat di universiti perlu diterjemahkan supaya dapat dimanfaatkan masyarakat serta menyumbang kepada pembangunan negara.

“Ia sangat penting khususnya bagaimana kita hendak melangkah ke satu tahap lagi iaitu menterjemahkan apa yang ada di universiti. 

“Hasil-hasil daripada penyelidikan itu dapat disampaikan kepada masyarakat dan dilaksanakan dalam usaha membangunkan negara,” katanya.

Mengulas mengenai sambutan pada hari ini, beliau berkata, Hari dan Bulan Akademia disambut bagi mengingati sumbangan dan peranan para akademia, ilmuwan, sarjana, penyelidik dan lain-lain lagi. 

“Kita mempunyai Hari Guru yang sambutan setiap tahun diadakan. Maka dalam konteks pendidikan tinggi, kita juga mengadakan Hari Akademia. 

“Mungkin sambutannya belum dirasai dengan baik, namun usaha-usaha sedang dilakukan oleh pihak KPT untuk menjadikan bahawa acara ini adalah acara unggul bagi dunia akademik,” katanya.

Tambahnya, kerajaan juga akan meneruskan dan memastikan supaya Hari Akademia ini disambut dengan meriah oleh semua kalangan yang berada dalam lingkungan dunia akademia.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN