KUALA LUMPUR: Penyanyi, Nadeera Zaini berlapang dada menerima teguran seorang individu yang mendakwa dirinya kerap menghulurkan mikrofon kepada peminat ketika membuat persembahan.
Menurut Nadeera, tindakan tersebut dilakukan secara spontan kerana terlalu teruja apabila melihat peminat menghafal dan mampu menyanyikan lagu-lagunya.
“Sebenarnya saya terlalu teruja apabila orang suka menyanyikan lagu saya. Dari dahulu lagi, sebelum dikenali, saya pernah berdoa yang saya mahu sangat orang nyanyi lagu saya dan boleh menyanyi bersama-sama dengan saya.
“Jadi apabila sudah dapat peluang itu, saya rasa terlalu teruja. Kadang-kadang sampai terlupa orang bayar kita untuk menyanyi.
“Sebab itulah setiap kali membuat persembahan, saya suka menghulurkan mikrofon kepada orang ramai untuk mereka menyanyi bersama. Bukan sebab saya tidak boleh menyanyikan bahagian tertentu. Saya cuma terlalu teruja,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Cuba Jadi Aku itu turut berterima kasih kepada rakan seperjuangannya, Aisha Retno kerana tampil mempertahankannya ketika isu berkenaan hangat diperkatakan di media sosial.
“Sebenarnya kami ada juga telefon satu sama lain. Saya sangat berterima kasih kepada dia kerana berana mempertahankan saya,” kongsinya.
Mengakui ada kalanya berasa geram apabila perkara kecil yang dilakukannya menjadi bahan kritikan, Nadeera bagaimanapun memilih untuk tidak membalas komen negatif dan cuba melihat setiap teguran daripada sudut positif.
“Geram itu memang geram. Tetapi apabila saya fikir semula, kalau tidak ada orang yang bercakap mengenai saya, mungkin saya tidak tahu sebenarnya mereka ambil berat mengenai saya.
“Saya anggap mereka sebenarnya sayang saya. Saya fikir positif sahaja. Sekecil-kecil perkara pun mereka nak bercakap. Terima kasih sebab ambil berat mengenai saya,” ujarnya.
Nadeera juga tidak menafikan masih membaca komen negatif mengenai dirinya meskipun ada antaranya mampu mengguris perasaan.
“Saya baca juga. Sebenarnya dahulu perkara itu menjadi latihan untuk saya. Ia melatih saya untuk menjadi lebih kuat. Sampai satu tahap, saya boleh gelak sahaja dengan apa yang mereka cakap. Saya tidak sekat sesiapa.
“Kita manusia. Kita bercakap mengenai orang, orang lain pun akan bercakap mengenai kita. Saya memang dah bersedia dari awal dan tak simpan dendam,” katanya.
Sebelum ini, tindakan Nadeera menghulurkan mikrofon kepada peminat ketika membuat persembahan menjadi perhatian seorang pengguna media sosial.
Perkara tersebut turut mendapat perhatian Aisha yang tampil mempertahankan Nadeera dan menegur individu terbabit.











