PN fail semakan kehakiman, cabar tindakan RoS

PN fail semakan kehakiman, cabar tindakan RoS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) hari ini memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) yang mengeluarkan notis berhubung cadangan pembatalan pendaftaran dan perintah penggantungan semua aktiviti gabungan itu.

Permohonan tersebut difailkan pada pukul 10.14 pagi tadi, oleh lima Setiausaha Agung parti komponen PN sebagai pemohon.

Lima pemohon itu ialah Setiausaha Agung PN yang juga Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Setiausaha Agung Parti Gerakan Malaysia (Gerakan), Wong Chia Zhen; Setiausaha Agung Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), Satish Kumar; Setiausaha Agung Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Setiausaha Agung Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Sazmi Miah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Takiyuddin berkata, pihak mereka menamakan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS), Datuk Mohamad Zulfikar Ahmad dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebagai dua responden dalam permohonan berkenaan.

Beliau menjelaskan permohonan semakan kehakiman itu antara lain memohon perintah certiorari bagi membatalkan notis yang dikeluarkan ROS terhadap gabungan tersebut.

“PN turut memohon deklarasi berhubung kesahan notis dan perintah yang dikeluarkan di bawah Subseksyen 13(2) dan 13(2A) Akta Pertubuhan 1966.

ADS:D

“Notis pertama bertarikh 22 September lalu dikeluarkan di bawah Subseksyen 13(2) Akta Pertubuhan 1966 dan meminta PN memberikan penjelasan kepada RoS sehingga memuaskan hati RoS supaya cadangan-cadangan untuk membatalkan pendaftaran Perikatan Nasional tidak boleh dibuat,” katanya semasa sidang akhbar di Pusat Media Parlimen, hari ini.

Permohonan Certiorari adalah satu remedi undang-undang di bawah proses semakan kehakiman (judicial review) yang difailkan di Mahkamah Tinggi untuk membatalkan sesuatu keputusan, tindakan atau perintah yang dibuat oleh badan berkuasa.

Tujuan utamanya adalah untuk memadamkan keputusan yang dianggap cacat daripada segi undang-undang supaya ketidakadilan dapat diperbetulkan.

Pada 23 September lalu, RoS menggantung semua aktiviti PN susulan notis yang dikeluarkan kepada PN pada 22 September lalu.

RoS menjelaskan notis berkenaan bertujuan mendapatkan penjelasan daripada PN berhubung aduan yang dikemukakan oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Menurut jabatan itu, notis tersebut bukan keputusan membatalkan pendaftaran PN, sebaliknya bagi memberi ruang kepada gabungan berkenaan mengemukakan penjelasan dalam tempoh munasabah.

Perkembangan itu berlaku susulan aduan rasmi yang dikemukakan oleh Bersatu kepada RoS pada 11 Ogos lalu.

Aduan berkenaan antara lain membabitkan dakwaan bahawa Bersatu tidak dilibatkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai, selain isu berkaitan kedudukan dan keanggotaan parti itu dalam gabungan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN