Bahasa kita wajah kita

Bahasa kita wajah kita

SETIAP rakyat perlu menggunakan bahasa Melayu dengan baik, menghormati kedudukannya dan bersama-sama memartabatkannya sebagai bahasa negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP tahun kita meraikan Bulan Bahasa Kebangsaan mulai Oktober, slogan, tema dan subtema tertentu akan dipilih untuk memberi arah kepada penganjuran segala kegiatan selama tempoh itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Untuk 2026, ‘Bahasa kita wajah kita’. Subtema ini menggarap persoalan bahasa adalah paparan sebenar tentang kehidupan. Bahasa merupakan cermin yang sebaik-baiknya untuk memperlihat keadaan sebenar berlaku dalam masyarakat.
Bahasa dalam segenap sisinya boleh dengan mudah lagi cepat, membekalkan maklumat bagaimana sesebuah masyarakat mengendalikan bahasanya.

Pada pengendalian ini, masyarakat sebenarnya turut memberikan maklumat tentang warisan, budaya, nilai dan lain-lain.

Dalam konteks bahasa negara, sama ada sebagai bahasa kebangsaan mahupun bahasa rasmi, cara pengendaliannya bukan sahaja penting, malah mencerminkan identiti dan jati diri sesebuah negara.

Pengendalian ini penting kerana bahasa negara adalah lambang nasional yang merupakan tanda rasmi mewakili negara. Antaranya dari segi identiti, nasional untuk negara dan budaya bagi rakyat negara itu.

Gambaran menyeluruh tentang sesebuah negara dapat dilihat melalui beberapa aspek, termasuk nilai kebanggaan dan sejarah nasional yang terungkap melalui bahasa negara.

Hal ini turut berkait dengan unsur primordial, iaitu kewujudan dan kesinambungan bahasa tersebut sejak sekian lama di negara berkenaan.

Bahasa ibarat tingkap yang membolehkan pelbagai aspek kehidupan masyarakat penuturnya ditelusuri. Melaluinya, nilai, budaya dan dinamika sosial bukan sahaja dapat diperhatikan dengan jelas, malah difahami dengan lebih mendalam.

Ini kerana melalui bahasa, kehidupan sosial kolektif masyarakat dapat memberi gambaran tepat lagi tuntas, tentang perkara yang diberikan keutamaan. Antaranya penghormatan, perlindungan dan yang seumpamanya.

Walaupun merupakan bahasa negara dalam peranan sekali gus sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, namun sebenarnya ibarat melukut di tepi gantang. Maksudnya, bahasa Melayu tidak penting dan keberadaannya tidak membawa sebarang kesan di negara ini.

Hal ini antaranya dapat dilihat pada edaran rasmi Jabatan Perkhidmatan Awam tentang penggunaan bahasa Melayu dalam semua urusan pemerintah.

Terbaharu dilakukan melalui Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM), Ceraian PO.1.1.1: Pemerkasaan Penggunaan Bahasa Melayu dalam Perkhidmatan Awam yang diperkenal pada Oktober 2025. Namun, perlu diperingat semula dalam waktu singkat sahaja pada Julai 2026.

Ini kerana hal itu didapati tidak berapa diendahkan. Ini dapat dilihat pada peringatan Julai lalu yang sekali lagi menekankan perhatian serius hendaklah diberikan kepada penggunaan bahasa Melayu secara menyeluruh dari segenap sisi. Antaranya termasuklah nama, tema, tajuk, latar belakang, isi dan segala maklumat yang berkaitan dengan urusan rasmi perkhidmatan awam.

Peringatan itu bukan sahaja merupakan teguran pematuhan, juga memperlihat wujudnya sikap negatif terhadap bahasa Melayu. Semua ini sebenarnya memberi maklumat jitu tentang nasib bahasa Melayu yang tidak dihiraukan di tanah watannya, walaupun dalam ranah urus tadbir negara yang sepatutnya bukan sahaja menggunakannya, juga memartabatkannya.

Sudah tentu kesemua ini memberi gambaran tentang kita yang bukan sahaja tidak bangga, tidak sayang, malah tiada kesetiaan kepada bahasa Melayu yang merupakan bahasa negara.

Selain usaha memastikan penggunaan bahasa Melayu terus dimantapkan dalam perkhidmatan awam, masih banyak perkara lain yang memberikan gambaran kurang baik terhadap kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa negara.

Tahap pengetahuan dan penguasaan bahasa Melayu yang rendah dalam kalangan rakyat, meskipun sekian lama tertubuhnya negara, sememangnya tidak mencerminkan keadaan yang positif.

Hal ini menunjukkan bahasa Melayu masih belum diterima dan dimartabatkan sewajarnya, meskipun berperanan penting sebagai bahasa negara yang membentuk identiti nasional dan budaya Malaysia serta rakyatnya.

Alasan seperti tidak cekap berbahasa Melayu bukan sahaja sangat tidak munasabah selaku warganegara, malah memperlihat sikap acuh tidak acuh terhadap negara yang diakui sebagai tanah air.

Keadaan ini turut menimbulkan rasa kesal dalam kalangan ‘orang asing’ yang berada di Malaysia. Antara pandangan yang dilontarkan ialah masyarakat Melayu lebih gemar bertutur dalam bahasa Inggeris, manakala sebahagian masyarakat bukan Melayu, khususnya kaum Cina, enggan menggunakan bahasa Melayu atau kurang menguasainya.

Situasi sedemikian pastinya memberikan gambaran kurang baik terhadap negara, khususnya dalam usaha membentuk negara bangsa. Ia dilihat bermasalah sehingga tidak dapat melahirkan warganegara yang mempunyai sentimen positif dalam konteks nasionalisme dan patriotisme linguistik bahasa Melayu.

Selain masalah kecekapan menutur, satu lagi cabaran besar ialah sikap terhadap bahasa Melayu yang secara umumnya masih kurang positif dalam kalangan rakyat.

Hal ini dapat dilihat apabila bahasa Melayu tidak begitu dibanggakan, sekali gus kurang digunakan secara meluas dalam kehidupan seharian.

Keadaan tersebut menunjukkan bahasa Melayu masih belum benar-benar dihayati sebagai lambang keperibadian individu mahupun simbol perwatakan kolektif rakyat Malaysia.

Paparan sentimen tidak positif ini adalah maklumat tentang perkara yang berlaku dalam masyarakat, yang diperhati banyak pihak lain.

Dalam hal ini, persoalan utamanya ialah ketiadaan rasa bangga terhadap bahasa negara sendiri, apatah lagi kecintaan dan kesetiaan terhadapnya.

Kesedaran terhadap norma bahasa Melayu sebagai dorongan untuk menggunakannya dengan baik, betul dan penuh rasa hormat sebagai bahasa negara juga masih rendah. Keadaan ini sepatutnya tidak berlaku kerana bahasa Melayu telah lama dinobatkan sebagai bahasa negara.

Seharusnya kesedaran terhadap bahasa Melayu bukan sahaja kukuh dan mantap, malah disertai apresiasi yang tinggi. Kesedaran itu perlu diterjemahkan melalui penggunaan bahasa Melayu secara meluas dan konsisten, selaras dengan piawai sosial yang sewajarnya sebagai bahasa negara.

Kewajipan menggunakan bahasa Melayu, sikap positif terhadapnya serta keinginan untuk memperbaiki penguasaan dalam kalangan mereka yang masih kurang cekap merupakan antara petunjuk penting wujudnya kesedaran tersebut.

Dengan menggunakan bahasa Melayu dengan baik serta betul, selain secara terhormat sebagai bahasa negara, rakyat Malaysia sebenarnya menyampaikan maklumat positif tentang jati diri dan identiti mereka sebagai warganegara Malaysia.

KESETIAAN KEPADA BAHASA NEGARA

Kesetiaan terhadap bahasa Melayu menuntut rakyat Malaysia sentiasa memelihara dan mempertahankan kedudukannya sebagai bahasa negara.

Usaha ini termasuk melindungi bahasa Melayu daripada pengaruh negatif bahasa lain yang boleh menjejaskan kedudukan serta fungsinya.

Pada masa sama, rakyat perlu berusaha membendung sebarang kesan yang boleh menghakis peranan bahasa Melayu sebagai bahasa utama negara.

Sehubungan dengan kesetiaan ini, rakyat Malaysia hendaklah memperlihatkan komitmen jangka panjang untuk melestarikan bahasa Melayu. Antaranya memastikan penggunaannya oleh semua rakyat dalam pelbagai konteks, khususnya dalam urusan yang bersifat kenegaraan.

Perkara paling penting dalam soal kesetiaan ini ialah tanggungjawab bersama untuk memastikan bahasa Melayu terus berkembang dan maju dalam segenap aspek.

Usaha tersebut penting supaya bahasa Melayu tidak pupus dalam apa-apa bentuk, walaupun dalam keadaan yang paling tidak ekstrem.

Dalam peranannya sebagai bahasa negara, bahasa Melayu sewajarnya menjadi penanda nasionaliti Malaysia, iaitu sentimen keterikatan seseorang kepada negara ini.

Oleh itu, setiap rakyat perlu mempunyai pengetahuan dan penguasaan bahasa Melayu yang baik.

Penguasaan yang tinggi penting bagi mendukung falsafah ‘bahasa jiwa bangsa’, iaitu menjadikan bahasa Melayu sebagai wahana yang menyatukan dan menyerlahkan nasionaliti Malaysia.

Bahasa juga mampu memberikan gambaran tentang pelbagai perkara yang berlaku dalam masyarakat penuturnya. Justeru, rakyat perlu mengubah sikap dan tabiat agar lebih positif terhadap bahasa Melayu.

Perubahan ini penting supaya penggunaan bahasa Melayu di Malaysia sentiasa memperlihatkan nilai, keindahan dan martabat yang sewajarnya sebagai bahasa negara.

Bahasa kita ialah wajah kita. Melalui bahasa Melayu, gambaran tentang diri kita sebagai rakyat Malaysia dapat dizahirkan, malah keyakinan kendiri sebagai warganegara turut dipengaruhi oleh cara kita menggunakannya.

Pada masa sama, penggunaan bahasa Melayu turut membentuk tanggapan pihak lain terhadap jati diri kita.

Justeru, jati diri tersebut bukan sahaja perlu kental, malah hendaklah sentiasa utuh dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu. –UTUSAN

 

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN