Salah faham sahaja, kami baru lepak makan pizza - Zaki Yamani - Utusan Malaysia

Salah faham sahaja, kami baru lepak makan pizza – Zaki Yamani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Penyanyi, Zaki Yamani menepis dakwaan kononnya dia dan abangnya, Osama Yamani kini sedang bermasam muka susulan kenyataan Zaki yang mencadangkan abangnya membuat kandungan media sosial bersama bapa mereka, Datuk Jamal Abdillah yang menimbulkan salah faham.

Bagaimanapun, Zaki berkata, Osama ada menghubunginya secara langsung dan menjelaskan keadaan yang sebenar bagi mengelak salah faham yang lebih serius.

“Osama ada mesej saya, dia hantar ayat yang sangat manis dan panjang. Dia ucapkan terima kasih kerana sentiasa menyokongnya dan berjanji akan berusaha dengan lebih gigih lagi selepas ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pada awalnya, saya rasa dia mungkin tersalah anggap atau hanya membaca tajuk sahaja tanpa meneliti kandungan artikel tersebut sepenuhnya. Namun selepas berbincang, dia faham dan hubungan kami sebenarnya okey sahaja. Saya sempat usik ‘ini mesti baca Threads’, kemudian dia gelak-gelak,” katanya.

Zaki ditemui semasa Hari Gabungan Kuasa, Meet & Greet AMT 2026 yang diadakan di MyKart Raceway, Shah Alam pada Ahad.

Tambah Zaki, sebagai adik-beradik, mereka tidak membiarkan perkara remeh menjejaskan keakraban mereka, malah sempat meluangkan masa bersama di kediaman Osama pada bulan lalu.

“Kami duduk berasingan, cuma sekarang agak sibuk sedikit jarang lepak. Tapi kami selalu sahaja jumpa, bulan lepas baru jumpa dia di rumah dan makan pizza sama-sama.

“Cuma buat masa ini masing-masing agak sibuk dengan komitmen pengajian dan kerja,” jelasnya.

Dalam pada itu, Zaki turut mengakui mereka sering memberikan kata semangat dan cadangan agar kerjaya masing-masing terus berkembang.

Menurut Zaki, dia sentiasa terbuka untuk memberikan pandangan memandangkan dia terlebih dahulu menceburi bidang penciptaan kandungan digital.

“Saya pernah cadangkan kepada abang untuk cuba buat konten sendiri. Saya tinggal berasingan dengan ayah, jadi apabila berjumpa ayah saya akan rakam momen  buat kandungan sekadar suka-suka menghiburkan orang.

“Osama ada kelebihan memandangkan dia memang tinggal dengan ayah. Kalau tidak mahu buat kandungan dengan ayah, dia boleh sahaja usaha buat kandungan sendiri. Saya kira beri cadangan sahaja namun terpulang kepadanya untuk mengikutinya atau tidak,” ujarnya.

Terdahulu, Osama mencuri perhatian apabila menegaskan tidak mahu terus dibayangi bapanya dan mahu meneroka bidang seni nyanyian atas nama sendiri. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN