Sindiket judi sabung ayam tumpas, 41 individu ditahan - Utusan Malaysia

Sindiket judi sabung ayam tumpas, 41 individu ditahan

SERAMAI 41 individu ditahan dalam serbuan yang dijalankan pihak polis di lokasi aktiviti judi sabung ayam di Papan, Batu Gajah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU GAJAH: Sindiket judi sabung ayam yang menawarkan pertaruhan sehingga RM20,000 bagi satu pusingan tumpas selepas polis menyerbu sebuah pondok di kawasan kebun durian di Papan, di sini semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, dalam serbuan pada pukul 7 malam itu, seramai 40 lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Indonesia ditahan untuk siasatan lanjut.

“Antara yang ditahan ialah seorang lelaki tempatan berusia 50 tahun yang mengaku sebagai penganjur dan pemilik premis selain dua individu lain yang dipercayai bertindak sebagai pengadil dan pembantu penganjur.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dalam serbuan itu, kita turut merampas beberapa barangan dan wang tunai berjumlah RM114,211 yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti perjudian berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, hasil siasatan mendapati kegiatan perjudian itu telah beroperasi sejak awal tahun ini dengan kadar pertaruhan dikesan mencecah sehingga RM20,000 bagi satu pusingan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953, Seksyen 32 Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan terus diambil terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang terlibat dalam aktiviti perjudian haram serta penganiayaan haiwan,” katanya

Operasi diketuai Bahagian D7 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak itu dibantu Bahagian D9 JSJ IPK Perak, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Batu Gajah serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN