Israel sasar bunuh pemimpin Hamas dalam serangan di Gaza - Utusan Malaysia

Israel sasar bunuh pemimpin Hamas dalam serangan di Gaza

ORANG ramai memeriksa runtuhan bangunan yang rosak teruk selepas serangan Israel ke atas sebuah apartmen kediaman di kawasan Rimal, Bandar Gaza. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANDAR GAZA: Israel mendakwa serangan udaranya ke atas sebuah apartmen di Gaza yang mengorbankan lima orang, termasuk empat wanita dilakukan sebagai sebahagian daripada usaha membunuh seorang pemimpin Hamas.

Tentera Israel berkata, serangan itu menyasarkan Ali al-Amoudi, yang disifatkannya sebagai orang kanan ketua Hamas yang terbunuh, Yahya Sinwar,. Ia mendakwa beliau terbabit dalam perancangan serangan pada 7 Oktober 2023 di selatan Israel.

Bagaimanapun, Israel berkata, pihaknya sedang menyiasat sama ada Ali terbunuh atau ce­dera dalam serangan itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ali kini merupakan tokoh kanan Hamas paling berpengaruh di Semenanjung Gaza dan terbabit secara langsung dalam kegiatan keganasan Hamas serta usaha membina semula organisasi itu bagi menghadapi perang. (Ali) diserang bagi menghapuskan ancaman berkenaan,” menurut kenyataan tentera Israel.

Serangan udara Israel ke atas apartmen kediaman itu berlaku walaupun gencatan senjata dipersetujui tahun lalu.

Seorang pegawai di Hospital Al-Shifa di Bandar Gaza  memberitahu AFP bahawa pihaknya menerima mayat lima mangsa sdan beberapa orang yang cede­ra selepas serangan Israel di kawasan Rimal pada awal pagi.

Hospital itu berkata, mangsa yang terbunuh terdiri daripada dua wanita bersama anak pe­rempuan masing-masing dan seorang lelaki.

Jurucakap agensi pertahanan awam yang beroperasi sebagai pasukan penyelamat di bawah pentadbiran Hamas, Mahmoud Bassal berkata, dua peluru berpandu mengenai apartmen itu secara langsung, menyebabkan kebakaran dan merosakkan bangunan berkenaan.

Pengarah hospital berkata, dua daripada lima mangsa ialah penganut Kristian. Pada Sabtu, para pengiring jenazah berkumpul di Gereja Ortodoks Greek Saint Porphyrius yang kecil di Bandar Gaza  untuk pengebu­mian dua wanita berkenaan, yang dikenal pasti sebagai Maysaa Abu Daoud, 56, dan anak pe­rempuannya, Mary Al-Najjar, 36.

Ihab Ayad, saudara kepada kedua-dua wanita itu berkata, mereka sedang menjalani kehidupan seperti biasa di rumah ketika Israel melancarkan serangan.

“Kami tidak membaling batu atau melancarkan roket. Jika ada kanak-kanak dalam kala­ngan kami membawa batu, mereka memanggilnya pembunuh. Tetapi, mereka memiliki senjata pa­ling canggih dan memusnahkan segala-galanya,” katanya.

Kira-kira 1,000 penganut Kristian, kebanyakannya daripada mazhab Ortodoks, tinggal di wilayah Palestin itu. Masyarakat Kristian Palestin yang lebih besar tinggal di Tebing Barat, walaupun penghijrahan meningkat sejak perang bermula.

Perang Israel di Gaza menye­babkan sebahagian besar wila­yah itu musnah dan mengorbankan lebih 74,200 orang, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.

Pasukan Israel membunuh lebih 1,440 orang sejak pengumuman gencatan senjata setahun lalu, menurut Kementerian Kesihatan Gaza. Tentera Israel pula mengenal pasti lima anggota tenteranya terbunuh dalam tempoh sama, selain seorang kontraktor awam.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN