Lepasan UniSIRAJ makin dapat tempat sektor swasta

Lepasan UniSIRAJ makin dapat tempat sektor swasta

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail melancarkan Promosi Masakan Perlis di Bosphorus Family Restaurant, Qorasaroy Street, Almazar District, Tashkent, Uzbekistan. IHSAN/YTSP Perlis
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TASHKENT: Prestasi kebolehpasaran graduan Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) memperlihatkan penempatan kerjaya yang semakin pelbagai, sekali gus mencerminkan keupayaan graduan menyesuaikan diri dengan tuntutan serta perubahan pasaran pekerjaan semasa.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, sektor syarikat tempatan merupakan penyerap utama graduan UniSIRAJ yang dimiliki oleh Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan 49 peratus, diikuti sektor kerajaan atau awam sebanyak 19 peratus, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebanyak 17 peratus serta ekonomi gig, pekerjaan digital dan pekerjaan bebas sebanyak 15 peratus.

Menurut Baginda, penglibatan graduan yang tinggi dalam sektor syarikat tempatan menunjukkan penerimaan serta kepercayaan majikan terhadap kompetensi graduan UniSIRAJ, di samping memperlihatkan bahawa peluang kerjaya mereka kini lebih luas dan tidak hanya tertumpu kepada sektor kerajaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Keadaan ini mencerminkan keupayaan graduan UniSIRAJ untuk menembusi pasaran pekerjaan yang lebih luas serta menyesuaikan diri dengan persekitaran kerjaya yang semakin kompetitif dan pelbagai,” titah Baginda.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyempurnakan pelancaran Promosi Masakan Perlis di Bosphorus Family Restaurant, Qorasaroy Street, Almazar District, Tashkent, Uzbekistan.

Turut berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda puteri kedua, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut oleh Sanjarbek Abdurakhmonov, pengasas dan pemilik Bosphorus Family Restaurant Group di Tashkent.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, penglibatan 17 peratus graduan dalam sektor NGO turut memperlihatkan keupayaan alumni UniSIRAJ menyumbang dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, kebajikan, pembangunan komuniti, kemasyarakatan dan dakwah.

“Penglibatan ini memperlihatkan bahawa graduan UniSIRAJ bukan sahaja mempunyai orientasi kerjaya, malah mempunyai kesedaran sosial dan kesediaan untuk menyumbang kepada masyarakat,” titah Baginda.

Tuanku Raja Muda turut menzahirkan bahawa penyertaan graduan dalam ekonomi gig, pekerjaan digital dan pekerjaan bebas menunjukkan keterbukaan mereka terhadap model pekerjaan baharu serta laluan kerjaya alternatif yang berkembang seiring dengan ekonomi digital.

Program Promosi Masakan Perlis tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan memperkenalkan warisan gastronomi negeri Perlis ke peringkat antarabangsa, khususnya melalui kerjasama dengan rakan strategik serta pengusaha restoran di negara berkenaan.

Inisiatif berkenaan anjuran Bosphorus Family Restaurant mendapat kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF), selain pihak Kedutaan Besar Malaysia di Tashkent, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Perlis dan juga UniSIRAJ sebagai rakan strategik.

Hidangan yang diketengahkan ialah Kurma Daging Perlis, iaitu sajian warisan yang mencerminkan keunikan cita rasa masakan tradisional negeri Perlis.

Hidangan berkenaan disediakan khas oleh Ketua Chef Bosphorus Family Restaurant, Isaev Khodzhiakbar dengan menggunakan ramuan dan kaedah penyediaan yang mengekalkan identiti serta cita rasa masakan Perlis.

Promosi tersebut bukan sahaja memberi peluang kepada masyarakat tempatan dan antarabangsa di Tashkent menikmati masakan tradisional Perlis, malah menjadi platform diplomasi budaya dalam memperkenalkan identiti, warisan dan keunikan gastronomi Perlis ke persada antarabangsa.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN