KYIV: Ukraine bakal meningkatkan serangan ke atas kilang penapisan minyak Russia tetapi tidak akan menyasarkan orang awam susulan dasar baharu serangan udara Moscow yang cuba memaksa penduduk meninggalkan Kyiv dan bandar-bandar lain.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berkata, perkhidmatan perisikan Ukraine memperoleh dokumen yang menunjukkan Pemimpin Russia, Vladimir Putin mengeluarkan doktrin baharu serangan ketenteraan yang meliputi sasaran awam lebih luas menjelang musim sejuk.
Katanya, Kyiv juga sedang meningkatkan keupayaan gangguan isyarat, membangunkan peluru pemintas untuk dron Shahed dan peluru berpandu balistik yang mampu sampai keMoscow.
“Kami melihat dokumen dan tahu mereka membenarkan serangan terhadap infrastruktur, logistik dan khususnya di bandar, kampung, di mana-mana, termasuk jalan raya, sekolah dan hospital untuk memberi tekanan kepada penduduk supaya meninggalkan ibu negara serta bandar-bandar lain. Itulah matlamat operasi ini.
“Kami perlu bertindak balas dengan apa cara sekalipun yang kami mampu. Jika mereka menyerang sektor tenaga kami, kami perlu bertindak balas terhadap sektor tenaga mereka.
“Sasaran pertama adalah kilang penapisan minyak yang menjana wang untuk membiayai perang mereka. Namun, kami tidak akan bertindak balas, sudah tentu terhadap mana-mana sasaran awam,” katanya.
Serangan Russia di Ukraine pada Sabtu membunuh sekurang-kurangnya enam orang dan merosakkan Jambatan Utara Kyiv, sekali gus menjejaskan aliran trafik untuk hari ketiga dalam usaha terbaharu Moscow menyukarkan kehidupan di ibu negara Ukraine itu.
Sebelum ini, Russia turut menyerang blok apartmen, gudang pasar raya, stesen minyak, pusat data dan sasaran awam lain.
Dalam perkembangan berkaitan, Zelensky berkata, serangan balas Ukraine yang berterusan dan digelar Vivaldi berjaya menawan semula kira-kira 140 kilometer persegi wilayah Donbas di timur Ukraine.
Beliau berkata, perkembangan itu merupakan tamparan kepada Putin yang mahu Russia menguasai sepenuhnya Donbas sebelum bersetuju dengan sebarang perjanjian damai.
Zelensky berkata, Ukraine sedang berusaha menangani kekurangan bekalan peluru untuk pesawat pejuangnya, termasuk F-16 dan MiG, yang digunakan untuk menembak jatuh kira-kira 60 peratus dron Russia berkuasa jet.
Beliau berkata, Ukraine turut berusaha meningkatkan keupayaan gangguan isyarat bagi mengekang serangan dron Russia.
Pada separuh kedua Oktober, Ukraine dijangka menerima penghantaran pertama peluru berpandu pertahanan udara bersaiz kecil dan murah yang mampu memintas dron Shahed berkuasa jet generasi baharu.
Menurut Zelensky, Ukraine juga mula menggunakan peluru berpandu balistik buatan sendiri, FP-7, yang mempunyai jarak kira-kira 250 kilometer.
Beliau berkata, Ukraine berharap model FP-9 yang mampu mencapai jarak sasaran lebih jauh dapat disiapkan menjelang musim luruh.
Sementara itu, Canselor Jerman, Friedrich Merz, tiba di Kyiv pada Ahad bersma ketua pegawai eksekutif syarikat pertahanan Jerman sebagai tanda sokongan kepada Zelensky ketika serangan Russia ke atas bandar-bandar Ukraine semakin meningkat.
“Saya datang ke Kyiv hari ini kerana Ukraine memerlukan sokongan penuh kita dalam tempoh beberapa minggu akan datang,” kata Merz.











