PETALING JAYA: Waris kepada 54 rakyat Malaysia yang masih belum ditemukan di Nepal mungkin perlu membuat permohonan pengisytiharan kematian daripada Mahkamah Tinggi Sivil sekiranya kesemua mangsa tidak dapat dikesan bagi tempoh panjang.
Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Muhamad Hisham Marzuki berkata, ia bagi membolehkan urusan tuntutan insurans dan komitmen kewangan tertentu diselesaikan.
Katanya, selagi mangsa belum ditemukan, urusan tuntutan insurans lazimnya bergantung kepada pengesahan kematian sama ada melalui penemuan individu terbabit atau perintah mahkamah.
“Setakat ini, pihak bank hanya menggunakan budi bicara berkenaan apa-apa hutang atau pinjaman mangsa.
“Tuntutan insurans juga bergantung kepada pengesahan kematian melalui penemuan mangsa atau perintah mahkamah sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Pengurus Agensi Zurich Takaful Berhad, Lily Suriani Md. Saad berkata, waris tidak seharusnya menunggu sehingga status kematian disahkan untuk memulakan urusan dengan syarikat insurans atau pengendali takaful.
Katanya, waris boleh membuat pemberitahuan awal, membuka fail kes dan mendapatkan semakan terhadap manfaat perlindungan yang tersedia, termasuk perlindungan perjalanan, perubatan kecemasan serta perbelanjaan berkaitan, tertakluk kepada terma dan syarat polisi atau sijil takaful masing-masing.
“Bagaimanapun, pembayaran pampasan kematian bergantung kepada bukti yang dikemukakan, dokumen rasmi yang diterima serta syarat perlindungan berkenaan.
“Daripada sudut undang-undang, Malaysia secara amnya memperuntukkan proses anggapan kematian selepas seseorang tidak didengar khabarnya selama tujuh tahun, tertakluk pada keperluan undang-undang yang berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, panduan jelas daripada syarikat insurans dan pengendali takaful penting bagi membantu waris memahami proses tuntutan serta dokumen yang diperlukan sepanjang tempoh ketidakpastian berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, 54 rakyat Malaysia masih belum ditemukan susulan bencana di Nepal, dengan usaha mengesan dan mengesahkan status mereka masih dijalankan oleh pihak berkuasa Malaysia melalui kerjasama dengan pihak berkuasa Nepal. – UTUSAN











