SEPANG: Max Verstappen mencipta kemenangan sensasi pada Grand Prix Formula Satu (F1) Bahrain setelah dia akhirnya menjulang gelaran sulung, musim ini dan pelumba Red Bull Racing itu menyifatkan kejayaannya sebagai satu kemenangan luar biasa di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), semalam.
Apa yang lebih menarik kejayaan pemandu berasal dari Belanda tersebut, mengulangi pencapaiannya sewaktu GP Malaysia 2017 yang merupakan perlumbaan ‘finale’ di negara ini dengan catatan masa terpantas 1 jam 47 minit 14.808 saat (s).
Pendahulu Kejuaraan Dunia F1, Kimi Antonelli dari pasukan Mercedes AMG Petronas muncul sebagai naib juara (+2.307s), manakala, juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton (+4.919s) dari pasukan Ferrari di kedudukan ketiga.
Verstappen berkata, kemenangan pada GP Bahrain di Sepang sebagai antara kejayaan paling istimewa dalam kariernya selepas Red Bull Racing mencipta sejarah menerusi kemenangan pertama menggunakan unit kuasa sendiri.
“Ini kemenangan yang sangat istimewa. Selepas apa yang kami lalui sepanjang tahun ini dan perkembangan yang kami capai, saya sangat bangga dengan semua orang dan amat gembira dapat menang di sini,” kata juara dunia empat kali itu selepas perlumbaan berakhir di sini, semalam.
Menurutnya, perlumbaan itu berlangsung dalam keadaan sukar menyaksikan pasukannya perlu membuat beberapa keputusan penting, termasuk memilih tayar ‘intermediate’ ketika di awal saingan.
Jelasnya, permulaan perlumbaan juga tidak berjalan lancar apabila jentera Red Bull mengalami masalah kuasa sebelum kembali mendapatkan rentak perlumbaan.
“Ia sangat huru-hara dengan banyak perkara berlaku pada permulaan. Kami tidak mempunyai kuasa, jadi terpaksa menunggu sehingga kuasa kembali. Tetapi kami membuat keputusan tepat menggunakan tayar ‘intermediate,” ujarnya.
Sementara itu, pemenang tempat kedua, Antonelli mengakui, Verstappen memiliki sedikit kelebihan dari segi kelajuan dalam pertarungan itu.
“Saya fikir hari ini kami melakukan yang maksimum. Tahniah kepada Max (Verstappen) dan Red Bull di atas perlumbaan hujung minggu yang hebat.
“Bagi pihak kami, masih banyak kerja perlu dilakukan. Kami agak bergelut berbanding kebiasaan, tetapi tetap sangat gembira dapat menamatkan perlumbaan di tempat kedua,” kata pelumba berusia 26 tahun itu.
Sebelum perlumbaan bermula, pelbagai drama terjadi ekoran hujan lebat yang turun membasahi litar sehingga bendera merah terpaksa dikibarkan sewaktu pusingan formasi dilakukan ekoran kegagalan unit kuasa serta masalah elektrik yang tercetus kepada beberapa jentera.
Berlumba di atas litar basah bukanlah perkara baharu di Sepang, memandang pada GP Malaysia 2009, hujan lebat telah memaksa Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) menghentikan perlumbaan setakat 19 daripada 54 pusingan dengan pemandu pasukan Brown, Jenson Button diumumkan sebagai pemenang. – UTUSAN











