Sektor perbankan, utiliti, tenaga jadi pilihan pelabur

Sektor perbankan, utiliti, tenaga jadi pilihan pelabur

SEKTOR perbankan terus disokong aktiviti kredit dan ekonomi domestik, manakala utiliti serta tenaga mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan elektrik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sektor perbankan, utiliti dan tenaga, pem­binaan serta elektrik dan elektronik (E&E) dijangka menjadi antara kaunter saham yang terus mendapat perhatian pelabur dalam tempoh satu hingga tiga bulan akan datang.

Ini susulan sokongan daripada prestasi pendapatan korporat dan pemangkin struktur ekonomi domestik.

Pakar Ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Prof. Emeritus Barjoyai Bardai berkata, dalam keadaan Bursa Malaysia masih berada dalam fasa konsolidasi, pemilihan sektor dan kaunter berasaskan asas  dijangka menjadi lebih penting berbanding jangkaan terhadap kenaikan pasaran secara menyeluruh.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sektor perbankan terus disokong aktiviti kredit dan ekonomi domestik, manakala utiliti serta tenaga mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan elektrik, pembangunan pusat data, tenaga boleh baharu dan pelaburan infrastruktur.

“Sektor pembinaan pula berpotensi menerima sokongan daripada kesinambungan projek infrastruktur dan pembangunan industri, sementara E&E, semikonduktor dan tema kecerdasan buatan (AI) kekal menarik susulan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan teknologi global,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Pada masa sama, sektor penjagaan kesihatan serta barangan pengguna defensif boleh mendapat perhatian dalam keadaan ketidaktentuan pasaran kerana sesetengah syarikat dalam kelompok ini mempunyai corak pendapatan yang lebih stabil.

“Pasaran saham Malaysia ketika ini berada dalam keadaan penilaian terpilih, dengan beberapa kaunter dan sektor menawarkan penilaian yang lebih munasabah berbanding purata sejarah,” katanya.

Beberapa analisis pasaran pada 2026 menunjukkan Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) didagangkan di bawah purata sejarah berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan hadapan (PER hadapan). 

Dalam keadaan itu, pemilihan saham berdasarkan prospek keuntungan, aliran tunai dan kedudukan kewangan syarikat menjadi semakin penting, berbanding sekadar membeli indeks secara menyeluruh.

Sementara itu, Pensyarah Kanan, Sekolah Perakaunan dan Kewangan Sekolah Perniagaan Taylor Fakulti Perniagaan dan Undang-undang, Universiti Taylor, Dr. Paul Anthony Maria Das berkata, Bursa Malaysia dijangka kekal berhati-hati dan agak tidak menentu dalam tempoh terdekat, terutama dipengaruhi ketidaktentuan kadar faedah global, hasil bon Amerika Syarikat (AS) yang tinggi serta risiko geopolitik.

Katanya, FBM KLCI ditutup pada 1,651.17 mata pada 30 September selepas susut kepada 1,643.96 mata sehari sebelumnya, mencerminkan aktiviti pembelian pada harga rendah, namun sentimen pasaran masih belum benar-benar kukuh.

“Bagaimanapun, saya tidak melihat keadaan ini sebagai kelemahan menyeluruh dalam ekonomi Malaysia.

“Pasaran saham tempatan masih disokong oleh permintaan domestik yang kukuh, di samping peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan perbankan, utiliti dan pembinaan serta pertumbuhan pelaburan berkaitan infrastruktur,” katanya.

Menurut beliau, keadaan itu menunjukkan asas ekonomi domestik masih menyediakan sokongan kepada pasaran, walaupun pelabur perlu berdepan dengan persekitaran luaran yang tidak menentu.

“Dalam tempoh terdekat, pasaran berkemungkinan bergerak mendatar dengan turun naik yang lebih ketara, berbanding mencatat kenaikan secara konsisten,” katanya.

Paul berkata, perkembangan kadar faedah global, pergerakan hasil bon AS dan perkembangan geopolitik akan terus menjadi antara faktor utama yang diperhatikan pelabur dalam menentukan hala tuju pasaran.

“Dalam masa sama, prospek keuntungan korporat dan keupayaan syarikat mengekalkan aliran tunai yang sihat dijangka kekal penting dalam menentukan prestasi kaunter dan sektor tertentu.

“Justeru, pelabur dijangka memberi lebih tumpuan kepada syarikat yang mempunyai asas kewangan kukuh serta disokong pertumbuhan permintaan domestik, berbanding bergantung semata-mata kepada pergerakan keseluruhan indeks,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN