PENUAAN penduduk tidak seharusnya dilihat sebagai beban sosial semata-mata, sebaliknya peluang ekonomi baharu yang mampu membuka pasaran bernilai sehingga AS$118 trilion (kira-kira RM481.5 trilion) menjelang 2050.
Malaysia mempunyai kedudukan strategik untuk merebut peluang itu dan berpotensi muncul sebagai antara peneraju ekonomi longevity atau umur panjang di rantau ini, didorong kesiapsiagaan infrastruktur digital, teknologi kecerdasan buatan (AI) serta kerangka perancangan nasional berkaitan penuaan penduduk.
Pengarah Pusat Inovasi Kebangsaan bagi Penuaan (NICA) United Kingdom (UK), Profesor Nicola Palmarini berkata, Malaysia mempunyai kelebihan berbanding negara Barat terdahulu kerana proses penuaan penduduk berlaku dalam era digital yang membolehkan data dan AI dimanfaatkan bagi membentuk dasar yang lebih tepat.
“Malaysia perlu melihat transisi penuaan bukan sekadar daripada perspektif penjagaan warga emas, sebaliknya sebagai peluang untuk membangunkan ekosistem ekonomi yang merentasi pelbagai sektor.
“Kerajaan dan sektor swasta perlu beralih daripada konsep ‘ekonomi perak’ yang lebih tertumpu kepada rawatan dan keperluan warga tua kepada ekosistem longevity yang merangkumi kewangan, pengangkutan, perumahan, hiburan dan barangan pengguna,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi panel pada Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa 2026 (ISWC2026), baru-baru ini.
Palmarini berkata, tempoh transisi Malaysia daripada masyarakat menua kepada masyarakat tua hanya mengambil masa kira-kira 27 tahun, jauh lebih singkat berbanding Perancis yang mengambil masa sekitar 100 tahun.
“Walaupun tempoh transisi yang lebih singkat itu memberi tekanan kepada negara untuk bertindak pantas, Malaysia mempunyai kelebihan besar kerana proses tersebut berlaku ketika teknologi digital dan AI berkembang pesat.
“Penggunaan teknologi AI membolehkan Malaysia mengukur keberkesanan dasar merentas kementerian dengan lebih tepat, sekali gus membantu menangani cabaran yang pernah dihadapi negara Barat sebelum ini,” katanya.
Palmarini turut menyifatkan perancangan strategik Malaysia berkaitan penuaan sebagai langkah yang baik, namun menegaskan bahawa penggunaan data secara bersepadu perlu menjadi langkah seterusnya.
Katanya, kerajaan perlu menetapkan sasaran yang jelas dan boleh diukur bagi menentukan sejauh mana dasar berkaitan penuaan berjaya meningkatkan kualiti hidup rakyat.
“Sebagai contoh, analisis data dan AI boleh digunakan untuk melihat hubungan antara pencemaran udara, reka bentuk perbandaran, tahap mobiliti dan kesihatan dengan produktiviti penduduk dalam jangka panjang.
“Pendekatan sedemikian membolehkan kerajaan melihat isu penuaan secara lebih menyeluruh dan tidak terhad kepada sektor kesihatan atau kebajikan sosial.
“Dalam masa sama, sektor swasta perlu diberikan ruang dan galakan untuk membangunkan produk serta perkhidmatan yang memenuhi keperluan masyarakat sepanjang kitaran hayat, termasuk bagi kelompok berusia,” katanya.
Katanya, individu berusia 70 tahun pada 2026 mempunyai pengalaman, pendedahan teknologi dan keupayaan yang berbeza berbanding kelompok seusia pada era 1960-an.
Sehubungan itu, beliau berkata, sistem sokongan pekerjaan dan sektor korporat perlu mencari kaedah untuk memanfaatkan pengalaman serta kemahiran golongan veteran yang masih berupaya menyumbang.
Dalam konteks transformasi digital pula, beliau mengingatkan bahawa penggunaan AI secara meluas tidak seharusnya menyebabkan organisasi mengabaikan kepakaran manusia yang terkumpul selama puluhan tahun.
Katanya, pengalaman pekerja veteran dalam menangani krisis, membuat pertimbangan dan mengemukakan soalan strategik merupakan aset yang sukar digantikan sepenuhnya oleh teknologi.
Kajian global menunjukkan hampir 55 peratus syarikat yang menggantikan pekerja berpengalaman dengan sistem AI secara terburu-buru berdepan risiko kehilangan pengetahuan serta keupayaan kognitif organisasi.
Palmarini berkata, Malaysia juga mempunyai peluang besar untuk memperkukuh sektor penjagaan sebagai sebahagian daripada ekonomi longevity. – UTUSAN











