Wani Kayrie wakil tunggal Malaysia beraksi di Sri Lanka - Utusan Malaysia

Wani Kayrie wakil tunggal Malaysia beraksi di Sri Lanka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi, Wani Kayrie dipilih mewakili negara untuk persembahan di ABU Song Festival, Colombo, Sri Lanka, bulan hadapan.

Pemilihan yang dilakukan oleh RTM itu diibaratkan Wani sebagi penghargaan apalagi dia merupakan satu-satunya artis tempatan bakal beraksi di sana.

“Saya semestinya tak sangka sebab diberikan kepercayaan oleh RTM untuk satu-satunya artis mewakili Malaysia tahun ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Seperti yang kita tahu, festival ini diadakan setiap tahun di negara yang berbeza dan kelayakan untuk seseorang artis dihantar mewakili negara adalah berdasarkan pencapaian yang diraih.

“Jadi, saya rasa mungkin untuk tahun ini RTM melihat saya sebagai antara calon yang sesuai untuk dihantar mewakili Malaysia.

“Saya anggap ini sebagai satu peluang dan kepercayaan yang sangat besar diberikan kepada saya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas mengenai persembahan pada 2 November nanti, Wani berkata, dia merancang membawakan lagu hit miliknya, Cak Cak Cekuk.

“Setakat ini, lagu yang dipilih adalah Cak Cak Cekuk. Lagu ini dipilih mungkin kerana baru-baru ini saya baru habis persembahan Anugerah Juara Lagu (AJL).

“Dari situ mungkin  RTM melihat potensi saya serta saya mempunyai kriteria yang sesuai untuk dipersembahkan di pentas ABU Song Festival tahun ini di Sri Lanka.

“Kita tahu Sri Lanka sendiri mempunyai muzik yang sangat hebat, begitu juga penggunaan instrumen mereka. Jadi, saya rasa lagu Cak Cak Cekuk ini sesuai kerana mengetengahkan elemen tradisional dan moden.

“Mungkin elemen tersebut menepati kriteria yang diperlukan untuk ABU Song Festival di Sri Lanka pada tahun ini,” katanya.

Bukan itu sahaja, bagi Wani, kesempatan ini juga akan digunakan untuk mempromosikan budaya dan seni Malaysia di mata dunia.

“Apabila kita mewakili Malaysia, saya bertanggungjawab untuk membawakan lagu yang cukup kuat dari segi harmoni dan melodi, selain mengetengahkan elemen tradisional serta moden Malaysia.

“Jadi, ia lebih kepada usaha untuk membawa imej serta keseluruhan konsep tradisi dan budaya Malaysia.

“Saya rasa tanggungjawab ini sangat besar untuk saya memberikan yang terbaik dari segi keseluruhan penampilan dan konsep yang akan ditunjukkan kepada negara-negara luar, khususnya negara ASEAN yang terbabit.

“Pada masa sama, saya juga membawa nama dan mewakili penggiat seni dari negara-negara ASEAN yang terbabit dalam festival ini,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN