Rundingan PH masih terbuka, ‘jodoh’ politik belum tiba – Amanah

Rundingan PH masih terbuka, ‘jodoh’ politik belum tiba – Amanah

Muhammad Faiz Fadzil mengadakan sidang media selepas menghadiri Program Sesi Libat Urus (SLU) Pengerusi LKIM bersama nelayan kawasan Telok Mas di Pangkalan Nelayan Tinjong Nibong, Telok Mas hari ini. UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Rundingan kerjasama Pakatan Harapan (PH) dengan mana-mana parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka masih terbuka, meskipun Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong semalam menegaskan tiada rundingan dengan Barisan Nasional (BN) mahupun membentuk kerjasama PH Plus.

Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Muhammad Faiz Fadzil berkata, pendirian Amanah adalah untuk mencari rakan sekutu yang ikhlas bagi membentuk kerajaan negeri yang stabil selepas PRN nanti.

Katanya, perkara itu bagaimanapun tidak bermakna sebarang rundingan rasmi telah dimuktamadkan dengan mana-mana parti, sebaliknya ruang perbincangan masih terbuka dan keputusan akhir akan dibuat oleh kepimpinan parti.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pendirian Amanah ialah untuk mencari rakan-rakan yang ikhlas untuk memerintah Melaka ini. Keikhlasan itulah yang akan membentuk satu kestabilan dalam kerajaan.

“Siapa rakan kita itu, biarlah rahsia. Masih terbuka lagi,” katanya selepas menghadiri Program Sesi Libat Urus (SLU) Pengerusi LKIM bersama nelayan kawasan Telok Mas di Pangkalan Nelayan Tinjong Nibong, Telok Mas, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan kerjasama politik PH menjelang PRN Melaka susulan kenyataan Khoo semalam bahawa DAP tidak mengadakan rundingan dengan BN atau mana-mana pihak bagi membentuk PH Plus.

Muhammad Faiz berkata, Amanah melihat kerjasama dengan rakan sekutu yang mempunyai matlamat sama untuk membentuk kerajaan stabil sebagai sesuatu yang lebih baik berbanding bergerak secara bersendirian.

Menurutnya, pandangan parti komponen PH termasuk DAP berhubung bentuk kerjasama yang bakal diwujudkan akan diambil kira juga sebelum sebarang keputusan dibuat pada mesyuarat Majlis Presiden PH minggu depan.

“Itu pandangan-pandangan yang kita akan ambil kira. Tetapi Amanah berpandangan berpadu dengan rakan sekutu yang mahu mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil di Melaka ini lebih baik,” katanya.

Ditanya sama ada Amanah sudah mengadakan rundingan dengan mana-mana parti, Muhammad Faiz mengakui terdapat komunikasi dengan pelbagai parti, namun enggan memperincikan identiti parti terbabit.

Bagaimanapun, ketika ditanya secara khusus sama ada rundingan sudah diadakan dengan Barisan Nasional (BN), beliau menjelaskan bahawa hubungan antara PH dan parti dalam kerajaan perpaduan di peringkat nasional tidak boleh dianggap sebagai rundingan kerjasama PRN Melaka.

“Di peringkat nasional, kita adalah kerajaan perpaduan. Kita bersama dengan mereka di peringkat nasional. Sama ada di Melaka ini, bergantung kepada rakan yang ikhlas untuk membentuk kerajaan yang stabil,” katanya.

Beliau turut menggunakan pendekatan berseloroh bagi menggambarkan situasi rundingan antara parti yang masih belum menemukan kesepakatan.

“Kadang-kadang orang yang kita kenal itu mungkin tak ada jodoh. Jadi kita tunggu jodohnya,” katanya.

Menurutnya, Amanah tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan mana-mana parti sekiranya terdapat keikhlasan dan kesediaan untuk memastikan kestabilan kerajaan negeri.

“Kita sedia bersekutu dengan siapa yang kita fikir ikhlas untuk membentuk kerajaan yang stabil,” katanya.

Muhammad Faiz turut menegaskan Amanah mempunyai rekod tidak mengkhianati rakan politik dalam kerjasama kerajaan negeri sebelum ini.

“Kita ini suami yang baik. Saya nak tegaskan, suami yang baik. Suami yang penuh dengan kasih sayang.

“Sebab itu kita tidak pernah mengkhianati mana-mana parti. Lihatlah di Perak, lihatlah di Pahang, kita tidak pernah khianat,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN