Hampir 1,500 etnik Rohingya tiba di Myanmar dari Malaysia - Utusan Malaysia

Hampir 1,500 etnik Rohingya tiba di Myanmar dari Malaysia

HAMPIR 1,500 etnik Rohingya menaiki kapal tentera laut Myanmar. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YANGON: Hampir 1,500 migran Myanmar dari Malaysia tiba di negara asal mereka yang dilanda perang pada Ahad, menurut seorang pegawai tentera laut negara bergolak itu.

Tiga kapal yang membawa migran Myanmar itu berlabuh di pangkalan Tentera Laut Myanmar di Thanlyin sebelum 7.30 pagi waktu tempatan, kata pegawai tentera laut itu yang identitinya dirahsiakan AFP kerana beliau tidak diberi kebenaran untuk bercakap kepada media.

Wartawan AFP melihat ratusan ahli keluarga berkumpul sejak awal pagi untuk menjemput saudara-mara mereka di luar pangkalan itu, dengan kereta, teksi dan bas berbaris untuk membawa mereka pulang.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kyaw Myint, 55, berkata, beliau berada di situ untuk menjemput tiga cucunya yang ditahan di Malaysia selama satu setengah tahun dan tidak ditemuinya sejak enam tahun lalu.

“Sejak mereka tiba di penjara, kami terputus hubungan dengan mereka,” katanya.

Kini, Kyaw Myint bimbang cucu-cucunya akan dikerah menyertai perkhidmatan tentera Myanmar atau kumpulan bersenjata etnik, katanya.

Terdapat juga kebimbangan bahawa anggota masyarakat Rohingya yang ditindas termasuk dalam kumpulan yang dihantar pulang itu, selepas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penghantaran pulang berkenaan ketika sentimen anti-Rohingya semakin meningkat. 

Bagaimanapun, perkara itu belum disahkan.

Tiga kapal Tentera Laut Myanmar meninggalkan Malaysia pada Selasa dengan membawa 1,476 migran, menurut kerajaan Myanmar.

Ia merupakan umpulan pertama daripada 5,000 orang yang menurut Anwar dipersetujui Myanmar untuk diterima pulang.

Myanmar juga terus bergolak akibat keganasan, dengan 50 orang terbunuh pada penghujung bulan lalu dalam serangan udara tentera ke atas sebuah pasar di negeri Rakhine di barat negara itu.

Perang saudara berkenaan setakat ini mengorbankan lebih 100,000 orang, menurut organisasi pemantau ACLED.

“Ini bukan masa untuk menghantar pulang sesiapa secara paksa ke negara yang dibelenggu pencabulan dan pelanggaran hak asasi manusia yang serius,” kata Ketua Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Volker Turk, pada Selasa. 

Bagaimanapun, PBB memberi amaran bahawa keadaan di Myanmar, yang dilanda perang saudara sejak rampasan kuasa tentera pada 2021, menyebabkan kepulangan yang selamat tidak dapat dijamin seperti yang dikehendaki undang-undang antarabangsa. – AFP/AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN