Bergson: Dari Brazil, JDT hingga Harimau Malaya

Bergson: Dari Brazil, JDT hingga Harimau Malaya

BERGSON da Silva dan Arif Aiman Hanapi meraingan jaringan ketika Malaysia berdepan Singapura di Stadium Si Jalak Harupat di Bandung, Indonesia.-IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERJALANAN Bergson da Silva daripada seorang pemain import kelahiran Brazil kepada penyerang naturalisasi Harimau Malaya menjadi antara kisah menarik dalam perkembangan bola sepak tempatan tahun ini.

Penyerang berusia 35 tahun itu pada awalnya hadir ke Malaysia sebagai pemain asing untuk memperkuatkan Johor Darul Ta’zim (JDT), sebelum tempoh panjangnya beraksi dan menetap di negara ini membuka laluan untuk beliau bergelar pemain tempatan.

Bergson menyertai JDT pada 2021 selepas meninggalkan kelab Brazil, Mirassol, dan sejak itu namanya semakin kukuh sebagai antara penyerang paling prolifik dalam saingan Liga Malaysia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Lima tahun beraksi di Malaysia bukan sahaja menyaksikan Bergson mengumpul jaringan demi jaringan bersama Harimau Selatan, malah membolehkan beliau memenuhi tempoh pemastautinan yang diperlukan bagi proses naturalisasi.

Tempoh lima tahun itu dilengkapkan pada Februari lalu, sekali gus membuka peluang buat penyerang kelahiran Brazil berkenaan untuk mewakili Malaysia mengikut peraturan ditetapkan.

Bergson da Silva

Bagaimanapun, perjalanan Bergson untuk menyarung jersi Harimau Malaya tidak berlaku dalam sekelip mata kerana status kelayakannya perlu melalui proses dokumentasi dan semakan badan berkaitan.

Pada 13 September lalu, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengesahkan Bergson dan seorang lagi pemain JDT, Brad Tapp, layak mewakili Malaysia selepas semakan terhadap status kelayakan kedua-dua pemain selesai.

Pengesahan itu menjadi detik penting buat Bergson yang sebelum ini tidak pernah menyembunyikan keinginannya untuk membantu Harimau Malaya sekiranya diberi peluang.

Lebih menarik, beberapa bulan sebelum kelayakan itu disahkan, Bergson sendiri mengakui beliau tidak pernah membayangkan akan melalui proses naturalisasi ketika pertama kali tiba di Malaysia.

“Bila pertama kali datang ke sini, saya tidak pernah terfikir untuk dinaturalisasikan. Sasaran saya hanya satu iaitu memberikan yang terbaik buat JDT,” katanya.

Selepas FIFA memberikan lampu hijau, Bergson tidak menunggu lama untuk menyatakan kesediaannya menyarung jersi Harimau Malaya sekiranya dipanggil.

BERGSON di kawal ketat pertahanan Indonesia.

“Saya sangat berbangga untuk mewakili Malaysia dan mahu memberikan yang terbaik untuk skuad kebangsaan,” katanya.

Impian itu akhirnya menjadi kenyataan apabila pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menyenaraikan Bergson dalam skuad yang membawa cabaran negara pada Piala ASEAN FIFA 2026 di Indonesia.

Buat Bergson, panggilan tersebut bukan sekadar satu lagi tugasan dalam karier profesionalnya, sebaliknya menjadi detik istimewa selepas lebih lima tahun membina kehidupan dan karier bola sepak di Malaysia.

“Tidak, tidak pernah. Sebab itu saya katakan berada di sini seperti impian buat saya, keluarga saya dan semua yang melalui detik ini bersama saya sepanjang lebih lima tahun,” katanya ketika menyertai kem latihan kebangsaan.

Bergson turut menyifatkan peluang menyarung jersi negara sebagai satu penghormatan besar, selain menganggap tanggungjawab mengetuai jentera serangan Harimau Malaya sebagai amanah dan bukannya tekanan.

“Menyarung jersi ini dan mewakili negara adalah satu penghormatan buat kami semua. Kami berada di sini untuk memberikan yang terbaik dan saya adalah antara mereka,” katanya.

BERGSON (kanan) meraikan gol pertamanya bersama Harimau Malaya pada aksi Piala ASEAN FIFA 2026 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, semalam. – IHSAN MALAYSIA NT

Kini, kisah Bergson memasuki bab baharu apabila pemain yang suatu ketika dahulu datang sebagai import dari Brazil itu berdiri di tengah padang dengan Jalur Gemilang di dada, membawa harapan penyokong untuk melihat ketajamannya di peringkat antarabangsa.

Daripada mengejar jaringan untuk JDT, Bergson kini memburu gol untuk Harimau Malaya satu perjalanan yang bermula sebagai pemain asing dan akhirnya membawanya menjadi sebahagian daripada keluarga bola sepak Malaysia.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN