PETALING JAYA: Persatuan sukan yang meraih pingat emas pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 boleh menarik nafas lega apabila Majlis Sukan Negara (MSN) memberi jaminan untuk mempertimbangkan peruntukan tambahan bagi memastikan momentum kecemerlangan mereka terus diperkukuhkan.
Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin berkata, sokongan termasuk tambahan peruntukan itu akan diberikan kepada sukan yang terbukti mampu menyumbang emas kepada kontinjen negara, khususnya sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA 2027 yang akan berlangsung di Malaysia.
“Di peringkat MSN, kita akan terus memberi sokongan dan peruntukan tambahan kepada sukan yang berjaya menyumbang pingat emas kepada kontinjen negara. Jangan risau, persatuan sukan yang sudah berjaya ini akan terus mendapat sokongan sepenuhnya daripada kita,” katanya ketika ditemui media, kelmarin.
Menurut Jefri, kejayaan sembilan emas yang diraih Malaysia di Aichi-Nagoya menjadi bukti bahawa sukan terbabit mempunyai potensi untuk terus menjadi penyumbang utama kepada kontinjen negara pada temasya akan datang.
Katanya, pencapaian itu juga memberikan asas kukuh kepada MSN untuk menyusun persiapan menghadapi Sukan SEA tahun depan dengan sasaran Malaysia muncul juara keseluruhan.
“Sudah semestinya. Sukan SEA tahun depan adalah sasaran kita untuk menjadi juara keseluruhan dan sukan-sukan ini sudah membuktikan mereka mampu menyumbang kepada kontinjen negara,” ujarnya.
Setakat semalam, Malaysia telah meraih sembilan pingat emas, sekali gus menyamai pencapaian terbaik negara pada Sukan Asia 2010 di Guangzhou.
Skuasy menjadi penyumbang terbesar dengan empat emas menerusi Ng Eain Yow dalam perseorangan lelaki, S. Sivasangari dalam perseorangan wanita serta acara berpasukan lelaki dan wanita.
Karate pula menyumbang dua emas menerusi Adeola Fay Robert dalam kumite individu wanita 55 kilogram (kg) dan C. Shamalarani dalam kumite wanita bawah 50kg, manakala satu emas masing-masing hadir menerusi e-racing, berbasikal trek dan sepak takraw.
Bagaimanapun, Jefri berkata perancangan menghadapi Sukan Asia 2030 di Doha, Qatar masih sukar dimuktamadkan kerana senarai sukan yang akan dipertandingkan belum diketahui.
“Kita harap sukan-sukan yang menyumbang emas pada kali ini akan terus memberikan emas kepada kontinjen negara pada temasya akan datang,” katanya.-UTUSAN











