Jijoe mahu ‘cas’ badan selepas Shanghai

Jijoe mahu ‘cas’ badan selepas Shanghai

JAGUH berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang meraih pingat emas kelapan Malaysia selepas memenangi final acara Keirin lelaki pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Izu Velodrome. - BERNAMA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selepas mengharungi musim padat dengan kejayaan, jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mengakui tiba masanya untuk memperlahankan rentak bagi memulihkan semula fizikal dan mental.

Bagaimanapun, pelumba berusia 38 tahun itu perlu mengharungi satu lagi tugasan penting pada Kejohanan Dunia di Shanghai, China dari 14 hingga 18 Oktober ini yang turut menjadi pentas pertama kelayakan ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Azizulhasni mengakhiri penampilan terakhirnya di Sukan Asia dengan penuh bergaya membantu skuad negara membawa pulang satu emas, satu perak dan dua gangsa dalam saingan berbasikal trek di Velodrom Izu, Shizuoka, kelmarin.

Memuatkan artikel berkaitan…

Lebih manis, Azizulhasni menutup kempen Aichi-Nagoya dengan emas keirin lelaki, selain menyumbang gangsa menerusi acara pecut individu lelaki.

Kejayaan itu meneruskan musim cemerlang Azizulhasni yang kini berada pada tahap prestasi terbaik selepas mengungguli kesemua kejohanan keirin utama yang disertainya tahun ini termasuk dua perlumbaan Piala Dunia, Sukan Komanwel Glasgow dan Sukan Asia Aichi-Nagoya.

“Alhamdulillah, 38 tahun di penampilan Sukan Asia terakhir dan saya akhirinya dengan kejayaan pingat emas.

“Terlalu banyak pengorbanan, jatuh bangun dan liku-liku sepanjang perjalanan ini. Namun begitu saya bersyukur kepada Allah SWT kerana semua ini tidak pernah melemahkan saya, malah membuatkan saya lebih kuat.

“Saya dah berikan segala untuk arena sukan negara khususnya sukan lumba basikal tanah air. Emas di Piala Dunia Perth, emas di Piala Dunia Nilai, emas di Sukan Komanwel Glasgow dan emas di Sukan Asia Aichi-Nagoya,” katanya.

Dengan Kejohanan Dunia di Shanghai sebagai pentas terakhirnya tahun ini, Azizulhasni sedar cabaran untuk mengekalkan momentum yang sama bukan sesuatu yang mudah selepas mengharungi jadual pertandingan yang begitu padat.

“Sekarang saya perlu bertahan sehingga Kejohanan Dunia dan kita lihat bagaimana keadaannya. Memang sukar untuk mengekalkan prestasi ini tetapi saya akan cuba sedaya upaya.

“Shanghai menjadi kejohanan kelayakan pertama ke Los Angeles 2028. Saya harap tiada siapa yang terkejut jika saya memperlahankan rentak selepas Kejohanan Dunia.

“Saya perlu memperlahankan kayuhan. Saya perlu mendapatkan semula tenaga dari segi mental dan fizikal. Saya juga perlu memberi tumpuan kepada asas latihan dan meningkatkan prestasi di gimnasium supaya dalam tempoh dua tahun menuju Los Angeles 2028, saya berada pada prestasi terbaik,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN