408 lokasi di IPTA, institut latihan terpilih kini dilengkapi Wi-Fi

408 lokasi di IPTA, institut latihan terpilih kini dilengkapi Wi-Fi

TEO Nie Ching (kiri) diberi penerangan mengenai projek pemasangan Wi-Fi di IPTA dan institusi latihan terpilih ketika melakukan lawatan kerja ke Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin USM di Nibong Tebal, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL : Sebanyak 408 atau 76 peratus daripada keseluruhan 538 lokasi di seluruh negara yang dipilih untuk projek pemasangan Wi-Fi bagi Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) serta institusi latihan di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) kini telah siap setakat 30 September lalu.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, jumlah itu merangkumi 191 lokasi di IPTA yang telah siap bagi fasa pertama dan kedua selain 80 daripada 206 lokasi yang telah siap bagi fasa ketiga.

Beliau berkata, bagi institusi di bawah Mara, sebanyak 106 daripada 110 lokasi yang dipilih telah siap manakala bagi institusi latihan di bawah Kesuma pula, kesemua 31 lokasi yang dipilih telah siap sepenuhnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jadi, daripada 538 lokasi itu, 408 sudah siap. Ketika ini, kerja-kerja pemasangan akan diteruskan di lokasi yang selebihnya dengan tumpuan diberi kepada kawasan penggunaan tinggi seperti dewan kuliah, makmal, perpustakaan, pusat pelajar, serta kolej kediaman,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin di Universiti Sains Malaysia (USM) bagi meninjau projek liputan Wi-Fi IPTA di sini, hari ini.

Sementara itu, Nie Ching berkata, bagi Pulau Pinang pula, sebanyak 32 lokasi telah dipilih untuk projek pemasangan Wi-Fi tersebut bagi fasa kedua dan ketiga dengan peruntukan sebanyak RM61.5 juta.

Katanya, ketika ini, 24 daripada 32 lokasi itu telah siap dan salah satunya ialah di Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin USM, di sini.

“Di USM sebenarnya, beberapa kampus telah pun dipilih termasuk kampus ini. Di bawah fasa kedua, sebanyak 1,103 titik akses atau pun kita panggil ‘access point’ telah pun beroperasi sejak Julai 2025.

“Bagi fasa ketiga pula, sebanyak 822 titik akses tambahan telah pun beroperasi sejak September; lebih awal daripada tarikh sasaran asal iaitu pada 23 September.

“Jadi, berdasarkan angka tersebut, boleh dikatakan sebanyak 1,925 titik akses telah pun beroperasi di USM secara keseluruhannya selepas mengambil kira fasa kedua serta komponen fasa ketiga yang telah siap,” ujar beliau.

Tambah Neo Ching, secara keseluruhannya iaitu di bawah fasa ketiga, sebanyak 740 titik akses Wi-Fi telah dipasang di Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin di sini, serta masing-masing 41 di Kampus USM di Bertam (Kepala Batas) dan USM Bukit Jambul.

“Ini semua (740 titik akses) telah beroperasi dan semua telah siap. Jadi, sementara itu, kerja-kerja pemasangan sebanyak 4,150 titik akses di USM kampus induk (Gelugor) sedang dilaksanakan dan dijangka siap menjelang hujung bulan ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN