REaCH 3.0 bantu usahawan tempatan kembangkan perniagaan

REaCH 3.0 bantu usahawan tempatan kembangkan perniagaan

SERAMAI 20 usahawan tempatan menerima suntukan insentif perniagaan menerusi pelancaran program Rural Empowerment and Community Help (REaCH) 3.0 di Parit 1 Barat hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI BESAR: Sebanyak RM60,000 disalurkan sebagai suntikan insentif perniagaan kepada 20 usahawan tempatan menerusi pelancaran program Rural Empowerment and Community Help (REaCH) 3.0 di Parit 1 Barat di sini, hari ini.

Program kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Yayasan TM (YTM) itu dirancang selama setahun bagi memberi impak sosial kepada komuniti setempat menerusi pembangunan keusahawanan, pemindahan ilmu dan peningkatan kemahiran.

Pengarah Yayasan TM, Ainol Shaharina Sahar berkata, REaCH 3.0 bukan sekadar memberi bantuan kepada komuniti, sebaliknya membuka peluang kepada masyarakat mendapatkan ilmu dan kemahiran yang boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan keupayaan ekonomi mereka.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagi Yayasan TM, impak sosial bukan hanya tentang apa yang kita sampaikan kepada komuniti tetapi bagaimana ilmu dan kemahiran yang diberikan dapat membantu mereka membina keupayaan sendiri.

“Melalui kerjasama dengan UiTM, kita dapat membawa kepakaran dan pengetahuan terus kepada komuniti untuk dikongsikan secara percuma. Kita mahu masyarakat dapat menggunakan ilmu tersebut dan mengembangkannya mengikut potensi mereka sendiri,” katanya.

Menurut Ainol, pelaksanaan program itu memberi ruang kepada pihak terlibat untuk melaksanakan pelbagai aktiviti secara berperingkat mengikut keperluan komuniti.

Sementara itu, Ketua Projek REaCH 3.0, Profesor Madya Dr. Kamaliah Mustaffa berkata, program itu dirangka dengan melihat keperluan sebenar masyarakat di Parit 1 Barat bukan hanya dari aspek ekonomi tetapi juga pembangunan kemahiran.

“Melalui REaCH kita mahu melihat bagaimana ilmu, kemahiran dan sokongan yang diberikan boleh membantu komuniti membina keupayaan mereka sendiri.

“Tempoh setahun ini memberi ruang kepada kita untuk melaksanakan intervensi secara berperingkat dan melihat impaknya kepada masyarakat,” katanya.

Menerusi REaCH 3.0, setiap daripada 20 usahawan menerima RM3,000 sebagai suntikan insentif perniagaan bagi membantu memperkukuh operasi dan mengembangkan perniagaan masing-masing.

Salah seorang penerima yang mengusahakan perniagaan sambal, Muhammad Amaluddin Sahli, 32, berkata, suntikan tersebut memberi peluang kepadanya untuk meningkatkan kapasiti perniagaan dan menambah pendapatan keluarga.

“Selama ini kami banyak menggunakan modal sendiri untuk mengembangkan perniagaan. Dengan adanya suntikan ini, saya boleh mengembangkan pernigaan secara atas talian serta tingkatkan lagi jualan.

“Bagi kami di kampung, peluang seperti ini sangat membantu kerana ia memberi ruang untuk kami mengembangkan perniagaan yang sudah dijalankan,” katanya.

Selain sokongan kepada usahawan, REaCH 3.0 turut memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran komuniti menerusi pelbagai aktiviti termasuk bengkel decoupage yang disertai kira-kira 40 penduduk setempat hari ini.

Bengkel itu memberi pendedahan kepada peserta mengenai kemahiran menghasilkan produk kreatif yang berpotensi dikembangkan sebagai sumber pendapatan sampingan.

Pelaksanaan REaCH 3.0 meneruskan pendekatan program terdahulu yang menggabungkan pembangunan komuniti, pendidikan, kemahiran dan teknologi mengikut keperluan setempat.

Menerusi REaCH 2.0 yang dilaksanakan di Juasseh, Negeri Sembilan sebelum ini, antara inisiatif yang diperkenalkan termasuk Smart Classroom, E-Learn Lounge dan beberapa projek kelestarian komuniti.

Kerjasama UiTM dan YTM itu turut memperlihatkan peranan institusi pengajian tinggi dan sektor industri dalam membawa kepakaran serta sumber terus kepada komuniti bagi membantu meningkatkan sosioekonomi masyarakat setempat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN