JEPUN berdepan cuaca semakin panas dan kering yang mengancam hasil tanaman padi, namun kemunculan varieti baharu tahan haba memberi harapan kepada petani untuk menyesuaikan diri dengan perubahan iklim.
Sawah milik seorang petani, Haruki Kawasaki, 63, kini bersiap untuk menuai tanaman ‘Hinatamaru’, sejenis varieti padi yang menghasilkan beras walaupun terdedah kepada musim panas dan kering berpanjangan, keadaan yang biasanya menjejaskan hasil padi.
Hinatamaru adalah antara beberapa varieti padi tahan haba yang memberi harapan baharu kepada petani di seluruh Jepun untuk menghadapi krisis iklim yang mengancam tanaman makanan ruji negara itu.

Kawasaki berkata, sebelum ini dia dan pasukannya menghabiskan sepanjang hari bekerja di sawah, namun keadaan cuaca panas menyebabkan rutin itu tidak lagi dapat diteruskan.
Petani Jepun yang kebanyakannya sudah lanjut usia, terpaksa bekerja dalam cuaca panas luar biasa dan hujan yang kurang daripada biasa sejak tiga musim panas lalu.
“Sekarang kami mula bekerja awal pagi dan bekerja sehingga kira-kira tengah hari. Terlalu panas pada sebelah petang. Pagi juga sudah tidak terlalu sejuk sekarang,” katanya.
Hinatamaru merupakan hasil penyelidikan selama 12 tahun yang kini semakin banyak ditanam selepas kejayaan ujian pada 2024.
Kawasaki dan petani lain di Saga menjadi antara peneraju usaha Jepun menyesuaikan sektor pertanian dengan keadaan cuaca yang semakin panas.
Di wilayah Saga, yang terletak di pesisir Laut Ariake di Kyushu, sebuah pulau besar di barat daya Jepun, varieti tahan haba kini meliputi hampir 67 peratus kawasan penanaman padinya.
Wilayah jiran, Nagasaki, menyusul dengan hampir 50 peratus, manakala Shimane di pesisir Laut Jepun mencatat 47 peratus.
Bagaimanapun, penggunaan varieti berkenaan masih rendah di kawasan timur laut Jepun, di mana petaninya secara tradisi lebih biasa berdepan cuaca sejuk.
Proses menghasilkan varieti yang tahan haba mengambil masa panjang, termasuk melalui kacukan varieti sedia ada, penanaman dalam persekitaran terkawal dan akhirnya ujian di kawasan pertanian sebenar.
Selepas rekod suhu tinggi sekali lagi dicatatkan tahun ini, agensi meteorologi negara itu memperkenalkan kategori baharu, iaitu ‘hari amat panas’, bagi suhu yang melebihi 40 darjah Celsius. Fenomena El Nino pula dijangka membawa keadaan cuaca yang lebih ekstrem.
Keadaan berkenaan menjejaskan tanaman padi, dengan menghasilkan beras berwarna putih keruh dan kurang sempurna yang mudah hancur ketika diproses untuk dijual secara komersial.
“Apabila suhu kekal tinggi secara luar biasa untuk tempoh panjang selepas pokok padi berbunga, beras yang sepatutnya jernih dan kaya dengan kanji boleh terbentuk secara tidak sempurna sehingga tidak boleh dijual sebagai beras gred pertama di pasaran terbuka,” kata Kawasaki.
Kawasaki, yang sudah lebih tiga dekad mengusahakan tanaman padi berkata, mungkin tiba masanya semua petani di Jepun menanam varieti baharu yang tahan haba.
Tanaman Hinatamaru milik Kawasaki dijangka menghasilkan kira-kira 600 kilogram tahun ini, jumlah yang sederhana tetapi mempunyai prospek cerah.
Ketika bersiap untuk menuai hasil musim ini, sebahagian daripada padi Kawasaki akan digunakan dalam upacara tahunan di Istana Maharaja di Tokyo.
Namun, beliau turut menyedari perkembangan varieti tahan haba itu adalah perlumbaan dengan masa, terutama apabila hampir 70 peratus pekerja sektor pertanian Jepun berusia 65 tahun ke atas.
“Ramai petani di sini berusia 70-an, manakala saya pula dalam lingkungan 60-an. Jadi sebagai petani, saya bersyukur kerana kami sudah menemui sesuatu yang berkesan dengan rasanya yang memang enak dimakan,” katanya.-UTUSAN











