21,000 mulai terima sumbangan Tawas RM1,500 seorang

21,000 mulai terima sumbangan Tawas RM1,500 seorang

Tawas
AMIRUDIN Shari menyerahkan bantuan tabungan Tawas sebanyak RM1,500 kepada salah seorang penerima pada Majlis Pelancaran Program Tuah di Klang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Seramai 13,000 anak Selangor yang lahir pada 2008 dan mendaftar dengan Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) mula menikmati sumbangan RM1,500 bagi membantu pembiayaan pendidikan tinggi.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, jumlah tersebut adalah sebahagian daripada 21,000 anak yang mendaftar bagi tahun tersebut dan memberikan maklum balas.

Katanya, berdasarkan keseluruhan penerima, sebanyak RM31 juta diperuntukkan bagi anak-anak yang sudah mencapai usia 18 tahun pada tahun ini daripada tabung tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sejak 2008, kita menabung. Kemudian sejak 2021 kita menggunakan tabungan itu untuk melabur dalam Selangor Advance dan mendapat pulangan sekitar tujuh hingga lapan peratus, sekarang kita pulangkan (serah bantuan itu).

“Kita cuba salurkan (kepada semua yang mendaftar) pada tahun ini, sebab ada tempoh setahun dari tarikh hari lahir mereka. Sebab kita sedar mungkin ada yang kurang mendapat maklumat, terlepas pandang, sibuk dan sebagainya. Jadi ada tempoh setahun untuk menuntutnya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Program Tuaian Anak Harapan Tawas (Tuah) di sini, hari ini.

Tawas diperkenalkan oleh bekas Menteri Besar, Allahyarham Tan Sri Khalid Ibrahim pada 30 Ogos 2008 yang menyediakan tabungan sebanyak RM100 bagi setiap anak yang lahir di negeri ini.

Kemudian pada 17 Ogos 2015, Enakmen Tabung Warisan Anak Selangor diluluskan bagi memastikan ahlinya menerima RM1,500 apabila mencapai usia 18 tahun yang boleh digunakan bagi tujuan pendidikan, latihan kemahiran, keperluan peribadi dan sebagainya.

Dalam pada itu, Amirudin memberitahu, kerajaan negeri sudah pun menyediakan tabungan bagi memastikan bantuan itu dapat diberikan untuk tempoh dua hingga tiga tahun ke hadapan menerusi program Iltizam Anak Selangor (Anas).

“Yang terima pada hari ini lebih 100 daripada 300 orang yang dijemput hadir. Sumbangan bagi tahun ini sudah pun dimasukkan dalam belanjawan yang dibentangkan tahun lalu.

“Sekarang kita sudah ubah ke program Anas di bawah Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas). Itu adalah simpanan (tabung) RM500 selama setahun. Tetapi setiap tahun kita beri (simpankan) RM100 untuk anak-anak mempunyai simpanan asas menjelang masuk ke universiti nanti,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN