PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggeledah 12 lokasi antaranya pejabat dan kediaman seorang pengurus syarikat sebuah agensi yang menawarkan perkhidmatan kewangan dan korporat.
Sumber berkata, SPRM menyita 25 buah kenderaan mewah bernilai kira-kira RM25 juta.
“Selain empat akaun peribadi dan tiga akaun syarikat bernilai kira-kira RM3 juta dibekukan,” katanya hari ini.
Katanya, SPRM juga telah mendapat kebenaran untuk menyambung reman suspek selepas disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu bagi mendapatkan pengurangan cukai bernilai kira-kira RM200 juta.
Jelasnya, perintan reman selama tiga hari sehingga 6 Oktober ini dikeluarkan Majistret Illya Syaheedah Mohd. Razif.
“Permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret, Putrajaya pagi tadi, sebaik tempoh reman asal terhadap suspek tamat hari ini.
“Sebelum ini, suspek lelaki berusia 40-an itu telah ditahan reman selama tiga hari sejak Khamis lalu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd. Halim Aman ketika dihubungi berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009. – UTUSAN











