RIYADH: Arab Saudi dan Houthi saling menuduh dan melaporkan serangan pada Khamis selepas dron dari Yemen menyerang sebuah stesen janakuasa di Madinah sekali gus meningkatkan ketegangan di sekitar salah satu kota paling suci dalam Islam.
Gabungan diketuai Arab Saudi berkata, sebuah dron Houthi menyerang stesen janakuasa elektrik Taibah di Madinah pada awal Selasa.
Ia menyebabkan sebuah transformer di kemudahan yang membekalkan elektrik kepada Masjid Nabawi rosak.
Bagaimanapun, gabungan itu berkata, rangkaian bekalan elektrik secara keseluruhan tidak terjejas.
Gabungan berkenaan berkata, siasatan dan pemeriksaan terhadap serpihan dron mengesahkan penglibatan Houthi dalam merancang serta melaksanakan serangan itu.
Ia menyifatkan kejadian berkenaan sebagai sebahagian daripada apa yang didakwanya sebagai percubaan berulang untuk menyasarkan Dua Masjid Suci di Mekah dan Madinah
Namun, Houthi menafikan tuduhan itu. Sumber tentera Houthi yang dipetik agensi berita Saba milik kumpulan tersebut menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai pembohongan dan menuduh Arab Saudi menggunakannya untuk mengalihkan perhatian daripada dakwaan terdahulu bahawa kumpulan itu menyasarkan Mekah.
Arab Saudi berkata, dua minggu lalu bahawa pihaknya memintas dan memusnahkan sebuah dron Houthi di selatan Mekah sebelum ia memasuki ruang udara larangan di atas kota suci itu.
Gabungan berkenaan berkata, ia merupakan percubaan kedua Houthi yang didakwa menyasarkan Mekah sejak 2017.
Namun, Houthi menafikan menyasarkan Mekah atau mana-mana tapak suci Islam.
Sementara itu, letupan kuat kedengaran pada petang Khamis di ibu negara Yemen, Sanaa yang dikuasai pHouthi, menurut wartawan AFP.
Rakaman AFP menunjukkan kepulan asap tebal naik ke udara di atas bandar berkenaan.
Selepas beberapa tahun tenang, Yemen kembali terjerumus ke dalam perang pada Julai, menyaksikan pertempuran antara Houthi yang menguasai Sanaa.
Pertempuran itu turut berlaku di kawasan pesisir Laut Merah Yemen dengan kerajaan yang disokong Riyadh. – AGENSI











