KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan penyanyi, Bella Astillah menganggap kisah percintaan mereka tidak layak dibandingkan dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.
Syed Saddiq berkata, meskipun memahami perbandingan tersebut dibuat dengan niat baik, perjalanan hidup dan sumbangan pasangan berkenaan terlalu besar untuk disamakan dengan mereka.
“Saya rasa kami tidak layak untuk dibandingkan dengan Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah dan Tun Dr Mahathir. Jauh sekali, satu peratus pun tidak.
“Kalau kita lihat, jasa mereka kepada negara sangat luar biasa. Allahyarhamah merupakan antara doktor wanita terawal yang menjadi inspirasi kepada golongan wanita.
“Begitu juga Tun Mahathir, kalau saya hendak senaraikan satu persatu pencapaian dan jasa beliau kepada negara, terlalu banyak. Malah, sehingga hari ini kita masih menikmati hasil daripada sumbangan beliau,” katanya ketika ditemui di sidang media Walimatulurus Bella Astillah dan Syed Saddiq, petang tadi.
Tambah Syed Saddiq, dia dan Bella juga belum layak dibandingkan dengan pasangan itu meskipun hanya dari sudut perjalanan cinta apatah lagi mereka masih baru mahu menjalani kehidupan berumah tangga bersama.
“Saya tahu mungkin ada yang mengatakan perbandingan itu bukan dari sudut sumbangan kepada negara, sebaliknya mengenai kisah cinta. Tetapi dari sudut cinta sekalipun, saya rasa kami masih tidak layak dibandingkan.
“Kami baru nak berkahwin dan menghalalkan hubungan, sedangkan mereka sudah melalui 70 tahun kehidupan bersama, meraikan cinta dan kebijaksanaan bersama selama tujuh dekad.
“Kalau diibaratkan sebuah buku, kami baru hendak mengarang muka surat pertama. Mereka pula mungkin sudah mempunyai sebuah perpustakaan sendiri untuk berkongsi kisah cinta mereka. Bukan satu buku, tetapi sudah beribu-ribu buku,” jelasnya.
Bagaimanapun, pasangan itu mengakui mereka sentiasa menjadikan tokoh negara itu sebagai sumber inspirasi dalam melangkah ke alam rumah tangga.
“Apa yang kami boleh lakukan hanyalah mengambil sedikit sebanyak inspirasi daripada mereka.
“Kalau kami dapat mencontohi walaupun satu peratus daripada kebaikan dan jasa yang mereka sumbangkan, itu pun sudah merupakan satu nikmat yang luar biasa,” kongsinya.
Dalam masa sama, Syed Saddiq turut mengajak orang ramai mendoakan Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah selain berharap Tun Dr Mahathir diberikan kekuatan selepas kehilangan isteri tercinta.
“Saya hanya berharap kita terus berdoa agar Allahyarhamah ditempatkan bersama orang-orang beriman di syurga.
“Saya juga berharap kita terus mendoakan supaya Tun Dr Mahathir kembali pulih sepenuhnya. Ini bukan proses yang mudah untuk beliau dan keluarganya.
“Saya berharap dengan doa kita semua serta semangat yang diberikan, beliau akan kembali lebih kuat, insya-Allah,” ujarnya.
Isnin lalu, Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah meninggal dunia pada usia 100 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) sebelum dikebumikan di Pusara Negara, Putrajaya.
Sebelum pemergian Allahyarhamah, Syed Saddiq pernah bertemu pasangan berkenaan bagi menyerahkan sendiri kad undangan perkahwinannya bersama Bella selain mendapatkan petua rumah tangga daripada mereka. -UTUSAN











