Mah Sing, Kinergy teroka penyelesaian kuasa pusat data - Utusan Malaysia

Mah Sing, Kinergy teroka penyelesaian kuasa pusat data

CHAU Chun Hoo (kiri) dan Lai Keng Onn (kanan) menandatangani terma Kerjasama di antara Mah Sing dan Kumpulan Kinergy.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mah Sing Group Berhad (Mah Sing) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Garden Vista Development Sdn. Bhd. (GVDSB) memeterai cadangan lembaran terma kerjasama bersama Kinergy Advancement Berhad (Kinergy).

Kerjasama tidak terikat dan bukan eksklusif itu bertujuan menyediakan khidmat nasihat teknikal serta meneroka penyelesaian infrastruktur kuasa bagi cadangan pembangunan pusat data syarikat.

Inisiatif berkenaan melibatkan cadangan pembangunan pusat data di Southville City, Bangi, Selangor dan Meridin East, Pasir Gudang, Johor.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ia menggabungkan keupayaan pembangunan serta perancangan tapak Mah Sing dengan pengalaman Kinergy dalam penjanaan kuasa, kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan tauliah (EPCC), serta penyelesaian tenaga boleh baharu dan mampan.

Langkah tersebut bertujuan menyokong penilaian Mah Sing mengenai perancangan penyelesaian kuasa yang diyakini, boleh diperluas dan mampan seiring dengan pembangunan portfolio infrastruktur digitalnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mah Sing, Datuk Voon Tin Yow berkata, bekalan kuasa merupakan elemen kritikal setanding dengan tanah, ketersambungan dan air bagi pusat data berskala besar.

“Perancangan infrastruktur tenaga pada peringkat awal mampu mengukuhkan kesediaan, kebolehtembangan serta daya saing jangka panjang sesebuah pembangunan pusat data.

“Kami telah mengenali Kinergy hampir sepuluh tahun dan menyaksikan perkembangan keupayaan teknikal mereka. Lembaran terma ini membolehkan kedua-dua pihak menilai peluang bersama-sama sambil mengekalkan fleksibiliti untuk Mah Sing apabila projek berkembang kelak,” katanya dalam kenyataan.

Di bawah lembaran terma tersebut, Kinergy akan bertindak sebagai penasihat teknikal dan menyediakan input teknikal serta komersial awal mengenai potensi loji kuasa tawanan (CPP) dan/atau pengaturan bekalan kuasa di bawah Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS).

Kerja-kerja berkenaan merangkumi penilaian keperluan kuasa yang dipunjurkan, teknologi dan saiz loji, kesesuaian tapak, pertimbangan kawal selia serta potensi struktur projek.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Eksekutif merangkap Pengarah Urusan Kumpulan Kinergy, Datuk Dr. Lai Keng Onn berkata, kerjasama berkenaan membawa hubungan erat selama sedekad antara kedua-dua syarikat ke tahap baharu dalam rantaian nilai infrastruktur.

“Pengalaman kami dalam kejuruteraan elektrik, infrastruktur kuasa dan penjanaan memberi asas teknikal yang kukuh untuk menilai bagaimana kuasa tawanan dapat melengkapi pelan pembangunan pusat data Mah Sing. 

“Ini termasuk memberikan fleksibiliti lebih besar bagi memenuhi keperluan kuasa yang besar dan berterusan serta menyokong pendekatan yang lebih teratur dalam mengintegrasikan tenaga boleh baharu.

“Penting untuk dinyatakan bahawa cadangan penyelesaian kuasa tawanan ini bertujuan melengkapi sistem elektrik sedia ada dengan menyediakan sumber kapasiti dan fleksibiliti tambahan di samping bekalan grid konvensional, dan bukannya menggantikannya,” katanya.

Perniagaan pembangunan hartanah kekal sebagai teras utama dan asas pertumbuhan Mah Sing. 

Memanfaatkan keupayaannya dalam simpanan tanah, perancangan induk, pembangunan dan penyampaian infrastruktur, Kumpulan kini melangkah secara selektif ke dalam infrastruktur digital bagi melonjakkan nilai simpanan tanahnya serta mencipta peluang pendapatan berulang baharu.

Pipeline infrastruktur digital Mah Sing merangkumi Mah Sing DC Hub @ Southville City, Meridin East di Pasir Gudang dan MS Industrial Park @ Kulai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN