KUALA LUMPUR: Kumpulan terkenal, OAG, beberapa band indie serta penyair dan penyajak tanah air bakal menyerikan festival AKAR//NEXT 2026 yang akan berlangsung selama tiga hari di Central Market, Kuala Lumpur bermula 30 Oktober hingga 1 November ini.
Dianjurkan oleh Goodseed Event, festival budaya kontemporari yang membawa tema “One Root. Infinite Futures.” itu menggabungkan pelbagai elemen termasuk muzik, seni, fesyen, makanan, produk kreatif, aktiviti komuniti dan pengalaman digital.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Goodseed Event, Hilli Fahmi berkata, AKAR//NEXT diwujudkan bagi mengetengahkan budaya dalam bentuk yang lebih segar dan dekat dengan generasi masa kini.
“AKAR//NEXT lahir daripada idea untuk membawa akar budaya kita ke satu ruang yang lebih segar, terbuka dan relevan dengan generasi hari ini.
“Kami mahu menunjukkan bahawa budaya bukan sesuatu yang statik atau hanya untuk dikenang, tetapi boleh terus berkembang melalui muzik, seni, fesyen, kreativiti dan teknologi. Melalui tema ‘One Root. Infinite Futures.’, kami melihat satu akar sebagai permulaan kepada pelbagai kemungkinan.
“AKAR//NEXT adalah ruang untuk meraikan apa yang telah membentuk kita, sambil memberi peluang kepada generasi baharu untuk mencipta apa yang akan datang seterusnya,” katanya di sidang media pelancaran AKAR//NEXT yang berlangsung di Pasar Seni, Kuala Lumpur, Rabu lalu.
Dalam pada itu, Hilli berkata, AKAR//NEXT juga merupakan festival terbesar yang pernah dianjurkan Goodseed Event dan menjadi satu cabaran dalam menyatukan pelbagai elemen dalam satu pengalaman yang mempunyai identiti tersendiri.
“Goodseed Event telah menganjurkan pelbagai acara dan festival sebelum ini, dan pengalaman tersebut banyak membantu kami dalam membangunkan AKAR//NEXT. Namun, kami tidak menafikan bahawa AKAR//NEXT merupakan festival terbesar yang pernah kami usahakan.
“Ia merupakan satu cabaran besar untuk kami, bukan sahaja dari segi skala, tetapi juga dalam menyatukan pelbagai elemen seperti muzik, budaya, seni, komuniti dan kreativiti ke dalam satu pengalaman yang mempunyai identiti tersendiri.
“Kami mahu memastikan apa yang kami bayangkan dapat direalisasikan dengan sebaik mungkin dan memberikan pengalaman yang bermakna kepada pengunjung, rakan kerjasama serta semua yang terlibat,” jelasnya.
Sepanjang festival, pengunjung berpeluang menikmati persembahan muzik, DJ, muzik elektronik, persembahan kebudayaan, seni visual, tekstil, kraftangan, fesyen serta pelbagai produk kreatif tempatan.
AKAR//NEXT turut menawarkan bengkel dan aktiviti kreatif selain ruang pasaran yang menghimpunkan pengusaha serta jenama tempatan.











