RIYADH: Kumpulan Houthi di Yemen melancarkan serangan dron ke atas stesen pengagihan elektrik Taiba di Madinah pada Selasa, menurut Gabungan Pemulihan Legitimasi di Yemen.
Jurucakap gabungan, Turki Al-Maliki berkata, hasil siasatan mendapati militan Houthi merancang dan melaksanakan tindakan pengecut itu.
Katanya kepada Arab News, pihak berkuasa menjalankan pemeriksaan operasi serta meneliti serpihan dron bagi mengesahkan sumber serangan berkenaan.
Serangan itu menyebabkan sebuah transformer terpaksa dihentikan operasinya, namun tidak menjejaskan keseluruhan sistem grid elektrik.
Al-Maliki berkata, serangan itu menyasarkan kemudahan awam yang membekalkan perkhidmatan elektrik kepada Masjid Nabawi di Madinah dan merupakan kesinambungan tindakan kumpulan itu yang cuba menyasarkan Dua Masjid Suci.
Menurut beliau, serangan berkenaan juga merupakan cubaan sengaja untuk mencetuskan kemarahan jutaan umat Islam di seluruh dunia.
Bagaimanapun, sumber tentera Houthi yang dipetik agensi berita Saba kendalian kumpulan itu menafikan dakwaan berkenaan dan menyifatkannya sebagai ‘pembohongan’.
Sumber itu berkata, dakwaan berkenaan bertujuan menutup kegagalan Arab Saudi mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaan terdahulu bahawa Houthi menyasarkan kota suci Mekah.
Beberapa jam selepas dakwaan itu, media Houthi melaporkan Arab Saudi melancarkan serangan udara terhadap Sanaa, ibu negara Yemen, serta beberapa kawasan lain di negara itu.
Arab Saudi bagaimanapun belum mengesahkan laporan berkenaan.
Houthi turut pernah cuba menyerang Mekah apabila melancarkan dron ke arah kota suci itu yang berjaya dipintas pada bulan lalu.
Turki berkata, gabungan itu akan terus mengambil langkah bagi menghalang tindakan militan berkenaan serta memastikan keselamatan Dua Masjid Suci dan para pengunjungnya.











