Russia akan serang NATO guna senjata nuklear - Utusan Malaysia

Russia akan serang NATO guna senjata nuklear

VLADIMIR PUTIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Russia memberi amaran kepada Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) bahawa Moscow bersedia menggunakan senjata nuklear jika pakatan Barat itu cuba mengasingkan Kaliningrad daripada wilayah negara bekas komunis itu yang bersempadan dengan Laut Baltik.

Dalam satu dokumen yang dihantar kepada NATO dan disiarkan Reuters kelmarin, Moscow menuduh pakatan itu mengambil pendekatan berbahaya dan melulu yang membawa risiko tinggi tercetusnya konflik bersenjata secara langsung.

Dokumen itu menyatakan tindakan berkenaan termasuk kemungkinan serangan Russia terhadap pusat-pusat pembuat keputusan di negara anggota pakatan itu sejak dari awal lagi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut nota diplomatik itu, Russia bersedia menggunakan seluruh kekuatan dan keupayaan dimilikinya, termasuk senjata nuklear bagi mempertahankan wilayahnya sekiranya negara NATO melakukan sebarang usaha untuk mengasingkan Kaliningrad daripada wilayah Russia yang lain

“Russia akan bersedia menggunakan keseluruhan kekuatan dan keupayaan yang dimilikinya, termasuk senjata nuklear, bagi mempertahankan wilayahnya sekiranya negara-negara NATO melakukan sebarang percubaan untuk mengasingkan Wilayah Kaliningrad daripada bahagian lain negara itu,” menurut nota diplomatik berkenaan.

Amaran itu menyerlahkan kebimbangan mendesak Moscow terhadap apa yang disifatkannya sebagai ancaman NATO yang semakin meningkat terhadap Kaliningrad.

Wilayah Russia itu mempunyai ketenteraan yang kukuh dan terletak di antara Poland dan Lithuania, serta sedikit lebih besar daripada negeri Connecticut di Amerika Syarikat (AS).

Setiausaha Agung NATO, Mark Rutte berkata, pakatan itu membalas mesej Russia dengan menyatakan: “Kami ialah pakatan pertahanan. Hentikan ancaman nuklear. Ini sama sekali tidak wajar dan tidak membantu.”

Dalam respons bertulisnya yang dilihat Reuters, NATO turut berkata, tiada satu pun latihan atau aktivitinya menimbulkan ancaman terhadap wilayah Persekutuan Russia.

“Kami menggesa Perseku­tuan Russia menghentikan pen­cerobohan berskala penuh tanpa provokasi terhadap Ukraine. “Kami menggesa Persekutuan Russia supaya menghentikan tindakan yang semakin berbahaya terhadap negara-negara anggota serta menghentikan retorik nuklear yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Ditanya sama ada risiko penggunaan senjata nuklear terhadap negara-negara Baltik kini benar-benar wujud, Rutte berkata pada persidangan pertahanan di Brussels yang dianjurkan penyiar Euronews: “Tidak, ia tidak benar. Putin tahu bahawa beliau tidak akan pernah dapat menewaskan NATO, jadi saya tidak menganggap perkara ini terlalu serius.”

Russia turut berkata, kilang-kilang di Eropah yang menghasilkan senjata untuk Ukraine merupakan sasaran ketenteraan yang sah.

Jurucakap Kementerian Luar Russia, Maria Zakharova pada taklimat media berkata, negara-negara Eropah terlibat secara langsung dalam konflik itu menerusi sokongan ketenteraan mereka kepada Ukraine, sambil menambah bahawa tindakan sedemikian melambatkan penyelesaian perang.

Nikolai Sokov, penganalisis nuklear yang berpangkalan di Vienna dan bekas diplomat Russia berkata, semakin sukar bagi negara-negara Barat untuk terus meningkatkan sokongan kepada Ukraine tanpa mencetuskan konfrontasi secara langsung dengan Moscow. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×