KOTA BHARU: Hampir 500 penghuni di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sini resah apabila bekalan elektrik yang terganggu sejak Ahad lalu masih belum pulih sepenuhnya.
Penduduk mendakwa ia berpunca daripada satu unit di tingkat 15 mengalami masalah kebocoran air sehingga menyebabkan ia mengalir ke suis utama bilik elektrik yang terletak di tingkat 13.
Keadaan itu juga menyebabkan lebih 90 keluarga terpaksa menggunakan lilin pada waktu malam, selain pelbagai bahan mentah yang disimpan dalam peti ais banyak yang rosak selain ada dalam kalangan mereka terpaksa bermalam di rumah saudara-mara.
Seorang penghuni, Mah Roni Che Kob, 58, berkata, kejadian itu bermula pukul 3 pagi pada 27 September ketika penghuni sedang tidur nyenyak.
Katanya, semua penghuni di tingkat 11 hingga 15 melibatkan blok B menyangkakan masalah gangguan elektrik hanya sekitar dua hingga tiga jam.
“Namun kejadian itu berlarutan sehingga kini dan menyebabkan penghuni terpaksa menghubungi Tenaga Nasional Berhad (TNB) tetapi sebenarnya ia tiada kaitan.
“Pada masa sama penghuni memaklumkan kepada pihak pengurusan PPR dan sehingga kini keadaan tetap sama apabila bekalan elektrik masih tiada. Pihak tersebut juga memberitahu kerja baik pulih dilakukan apabila air yang mengalir dalam bangunan itu kering,” katanya ketika ditemui di sini.
Bagi Nurul Atiqah Che Awang, 35, berkata, dia terpaksa berulang-alik bersama anaknya berusia 12 tahun ke rumah mentuanya di Kubang Kerian di sini.
Katanya, keadaan itu juga menyebabkan urusan menjual nasi ayam penyet dan aiskrim terbantut yang merupakan punca rezeki utamanya.
“Apabila tiada elektrik, semua kerja terpaksa ditangguhkan Sepatutnya, pihak pengurusan bertindak pantas untuk atasi masalah penduduk di sini dan bukannya mengambil masa berhari-hari,” katanya.
Warga emas, Ong Tok Moi, 85, yang tinggal bersendirian berkata, semua urusan memasak dan tidur malam terganggu apabila terpaksa bergelap setiap malam.-UTUSAN.











