'Menjadi' iblis itu sangat kontradiktif buat saya - Acha Septriasa - Utusan Malaysia

‘Menjadi’ iblis itu sangat kontradiktif buat saya – Acha Septriasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pelakon kelahiran Indonesia, Acha Septriasa, 37, mengakui pengalaman membawakan watak Fitri yang kerasukan dan berubah menjadi iblis dalam filem Munafik: Melawan Iblis bukan sesuatu yang mudah, malah menyuntik rasa takut dalam dirinya.

Menurut Acha, karakter yang dibawakannya itu jelas bertentangan dengan dirinya sebagai seorang Muslim, menyebabkan setiap kali pengarah mengarahkan adegan bermula, dia perlu meletakkan segala perasaan dan pemikirannya untuk menjayakan watak terbabit.

Bagaimanapun, pelakon itu mengambil pendekatan berserah kepada Allah SWT sepanjang menjalani penggambaran, selain banyak membaca dan berlindung mengikut caranya sendiri supaya lebih tenang serta berasa selamat ketika berada di set.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Memang dari dahulu agak sensitif, suka rasa-rasa juga. Jadi memang saya itu, dari dahulu memang sudah ada sedikit kemampuan indigo. Cuma, saya tidak pernah melihat apa-apa bentuk seperti yang ada dalam filem-filem itu, tidak pernah. Ada sendiri bayangan saya.

“Sebenarnya, itulah sebabnya saya sebagai pelakon menjadi lebih dekat dengan Allah. Ini kerana setiap kali memainkan sesuatu, pasti saya sangat-sangat berserah sekali, menyerahkan fikiran, tubuh dan perasaan saya supaya semuanya berjalan lancar ketika menggunakan medium saya sebagai seorang pelakon. Jadi, dengan saya berserah, dengan saya banyak membaca dan berlindung dengan cara saya sendiri, itu yang membuatkan saya menjadi lebih selamat, berasa selamat. 

“Tetapi bukan bermakna ini untuk peranan-peranan yang jauh daripada kerasukan. Justeru, kerana saya berperanan menjadi iblis, itu menjadi sangat kontradiktif dengan batin saya,” katanya.

Acha berkata, perasaan itu semakin kuat ketika berada di antara arahan ‘action’ dan ‘cut’, apabila dia perlu benar-benar menghayati watak sebagai iblis serta anak dajal.

Menurutnya, sebaik sahaja penggambaran dihentikan, dia akan kembali kepada dirinya sendiri dan spontan beristighfar kerana ketakutan yang dirasakan.

“Di satu sisi, antara ‘cut’ dan ‘action’, saya perlu memainkan watak sebagai iblis, sebagai anak dajal. Tetapi apabila ‘cut’, terus saya beristighfar, kerana saya sebenarnya takut.

“Itulah sebabnya saya berkata kepada Arya Saloka, ‘Arya, kita boleh buat ini. Sudah, tenang sahaja. Kita pasti boleh.’ Itu sebenarnya saya yang menyemangati diri sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Acha mengakui pembabitannya dalam filem berkenaan juga menuntut pengorbanan besar, terutama apabila perlu meneroka sisi karakter yang jauh berbeza daripada dirinya.

“Memang benar-benar keletihan sekali membuat filem ini. Kerana filem ini memang sebuah langkah saya yang agak jauh untuk meneroka karakter sebagai iblis. Yang saya rasa memang naluri kita sebagai manusia itu harus dilepaskan dahulu.

“Dan itu ternyata sukar sekali dalam hal membuat diri kita harus sedar bahawa kita tahu perkara yang sepatutnya kita lakukan, tetapi di satu sisi juga kita rasa harus berlindung kepada Allah ketika kita mendapatkan petunjuk menjadi iblis. Jadi, sangat rumit. Tetapi saya sangat bersyukur kerana memang kesempatan itu adalah sebuah peluang,” katanya.

Biarpun berdepan cabaran, Acha mahu penonton tidak hanya melihat Munafik: Melawan Iblis sebagai sebuah filem seram, sebaliknya mengambil mesej yang baik daripada pengalaman yang dipaparkan.

Bagi Acha, setiap filem hadir dengan cerita dan pengalaman tersendiri, malah Munafik: Melawan Iblis memberikan pengalaman kepadanya untuk kembali menjadi dirinya sendiri dengan segala kelemahan yang ada.

“Setiap filem pasti mempunyai cerita, setiap filem pasti mempunyai pengalaman. Dan filem Munafik ini mengajar saya pengalaman untuk kembali menjadi diri sendiri dengan kelemahan-kelemahan saya,” katanya.

Mengulas mengenai persiapannya pula, Acha mengakui dia merasakan persediaannya agak minimum sebelum menyertai produksi terbabit, terutama kerana dia menetap di Australia. 

Namun, bantuan rakan-rakan dan arahan pengarah, Guntur Soeharjanto, banyak membantunya memahami dunia Munafik: Melawan Iblis.

Sementara itu, Acha turut berkongsi pengalaman menjayakan antara sekuens paling mencabar dalam filem terbabit apabila watak Fitri perlu memanjat dinding.

Katanya, adegan itu memerlukan penggunaan sling, perlindungan keselamatan dan tunjuk ajar juru aksi selain penggambaran yang mengambil masa panjang sehingga awal pagi.

“Adegan memanjat dinding adalah paling saya ingati kerana dari pukul 10 pagi sehingga pukul 2 pagi, itu sahaja yang kita lakukan selama lima hari.

“Bagaimanapun saya bangga dapat melakukannya terutama setelah melihat hasil akhir yang sudah dijahit oleh editor,”katanya. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×