‘Saya letak jawatan jika terbukti menyesatkan orang’

‘Saya letak jawatan jika terbukti menyesatkan orang’

MARHAMAH ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli bersedia meletakkan jawatan sekiranya dapat dibuktikan di mahkamah beliau menyesatkan orang berkaitan dakwaan penglibatan dengan fahaman New Age Movement (NAM).

“Saya letak jawatan hanya apabila terbukti saya betul-betul menyesatkan orang, betul-betul ada orang yang saya sesatkan. Buktikan di mahkamah,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Hi-Tea Bersama Sahabat Wakaf Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), di sini hari ini.

Pas Sabah sebelum ini menggesa Marhamah meletakkan jawatan sekiranya penelitian pihak berkuasa agama mengesahkan beliau terbabit atau menyokong fahaman NAM.

Memuatkan artikel berkaitan…

Marhamah sebelum ini menafikan dakwaan beliau menganut, mengamalkan atau menyebarkan ajaran New Age Movement (NAM) atau mana-mana ajaran yang bercanggah dengan akidah dan syariat Islam.

Beliau dalam pada itu enggan mengulas mengenai pertemuannya dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) susulan kontroversi berkenaan.

“Jakim sudah keluarkan kenyataan media kan. Jadi saya tidak boleh ulas kenyataan media Jakim pula,” katanya.

Jakim sebelum ini memaklumkan pertemuan dan sesi tabayyun bersama Marhamah turut membabitkan Mufti Wilayah Persekutuan, Panel Pakar Akidah JAKIM dan pihak berkaitan bagi meneliti dakwaan itu daripada sudut akidah, autoriti agama serta latar pemikiran NAM.

Sementara itu, Marhamah berkata, usaha wakaf IKIM wajar disokong oleh masyarakat bagi memastikan institusi berkenaan terus menyampaikan ilmu dan menjalankan penyelidikan ilmiah.

Katanya, amalan wakaf tidak seharusnya dilihat hanya untuk mereka yang mempunyai harta dalam jumlah besar, sebaliknya setiap individu boleh menyumbang mengikut kemampuan.

Beliau turut menyambut baik pengenalan wakaf muaqqat atau wakaf bertempoh yang disifatkannya sebagai satu inovasi dalam bidang wakaf di Malaysia.

“Untuk wakaf ini perlu sebanyaknya (sumbangan) kerana dalam masa yang sama kita juga berdakwah, menyampaikan apakah manfaat wakaf sebenarnya. Lagi ramai yang tahu tentang wakaf ini, lagi baik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×