PENDIDIKAN Terbuka dan Jarak Jauh (PTJJ) kian berkembang dan menjadi pilihan, khususnya dalam kalangan mereka yang bekerja serta memilih untuk belajar tanpa perlu hadir ke kampus.
Keterbatasan masa dan ruang untuk bersemuka dengan pensyarah atau berurusan dengan staf pengurusan memerlukan sokongan teknologi yang canggih dan komprehensif bagi memastikan proses pembelajaran berjalan lancar.
Platform pembelajaran dalam talian, aplikasi digital, perisian berintegrasi kecerdasan buatan (AI) serta pelbagai sistem sokongan kini menjadi nadi utama penawaran program PTJJ. Namun, kecanggihan teknologi semata-mata belum memadai untuk menjamin pengalaman pembelajaran yang berkualiti.
Pelajar PTJJ tidak sentiasa berada di kampus dan mempunyai peluang terhad untuk bersemuka dengan pensyarah atau staf pentadbiran. Justeru, universiti perlu menyediakan saluran bantuan yang mudah dicapai bagi menangani keperluan akademik, teknikal dan peribadi.
Perkhidmatan ini tidak wajar bergantung emel atau panggilan telefon sahaja. Meja bantuan dalam talian, chatbot serta sistem aduan bersepadu boleh mempercepatkan maklum balas, selain membolehkan setiap permintaan direkodkan untuk tindakan susulan.
Tanpa rekod yang tersusun, emel atau permintaan penting berisiko terlepas pandang. Kelewatan menguruskannya boleh menyebabkan pelajar terlepas tarikh peperiksaan gantian, gagal memenuhi keperluan pengajian atau menghadapi masalah ketika proses graduasi.
Situasi ini bukan sahaja menjejaskan kelancaran pengajian, malah boleh menimbulkan kekecewaan.
Pada masa sama, kaunseling dalam talian dan aktiviti pelajar penting untuk mengelakkan mereka berasa terasing. Walaupun tidak berada di kampus secara fizikal, pelajar PTJJ tetap memerlukan perhatian serta sokongan seperti yang diterima pelajar konvensional.
Pensyarah turut memainkan peranan penting dalam menjayakan transformasi digital. Penguasaan teknologi perlu disertai keupayaan menggunakannya bagi mewujudkan pembelajaran yang interaktif, inklusif dan bermakna.
Kejayaan PTJJ tidak diukur melalui jumlah aplikasi yang dimiliki tetapi sejauh mana teknologi memudahkan pembelajaran serta mendekatkan pelajar dengan pensyarah dan komuniti universiti.
Dalam kerangka Malaysia Madani, transformasi digital pendidikan perlu berpaksikan nilai kemanusiaan, keadilan dan tanggungjawab supaya tiada pelajar berasa jauh atau tersisih daripada dunia kampus. –UTUSAN
DR. MAWARNY MD. REJAB
Pensyarah Kanan,
Pusat Pengajian Pengkomputeran,
Universiti Utara Malaysia (UUM)











