JOHOR BAHRU: Johor akan memperkenalkan Pelan Tindakan Kawalan Haiwan Terbiar 2027-2031 bagi memastikan isu anjing liar ditangani secara menyeluruh dan bersepadu, bukan sebaliknya secara bersendirian oleh mana-mana agensi kerajaan.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, pihaknya juga akan mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) khusus termasuk di kawasan kampung dan luar bandar bagi memastikan ia dilaksana secara lebih tersusun.
“Tiba masanya kita lihat isu anjing liar khususnya dikawasan luar bandar secara keseluruhan dengan melibatkan jabatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kita duduk bersama dan keluarkan SOP di peringkat kawasan kampung.
“Jadi apabila timbul isu anjing liar, kita sudah ada kaedah dan tindakan terbaik untuk dilaksana secara bersama,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Taskforce Banjir Kilat di Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), di sini hari ini.
Tambah Mohd. Jafni, isu ini perlu diberikan perhatian kerana sebahagian kawasan luar bandar bukan kawasan bercukai pihak berkuasa tempatan (PBT) menyebabkan tiada perkhidmatan tangkapan anjing liar secara bulanan seperti di kawasan pentadbiran PBT.
“Bagi kerajaan negeri, kita akan lihat bagaimana peruntukan PBT boleh disalur untuk kerja-kerja tangkapan anjing di kawasan luar bandar melalui pegawai daerah yang menyelaras tindakan itu.
“Inisiatif ini melibatkan kerjasama beberapa pihak termasuklah Jabatan Veterinar, PBT, Pejabat Tanah, ketua kampung dan pemimpin masyarakat bagi mencari kaedah terbaik menangani masalah berkenaan,” katanya.
Sementara itu, beliau turut memberitahu peningkatan jumlah anjing liar di beberapa kawasan adalah disebabkan haiwan berkenaan telah dibiarkan bebas oleh segelintir pihak yang sebelum ini terlibat dengan projek pembangunan atau pertanian.
“Ada kawasan pertanian sayur atau pembangunan sebelum ini membela anjing bagi tujuan tertentu, tetapi apabila projek siap, anjing itu dilepaskan dan dibiarkan mencari makanan sendiri.
“Untuk anjing-anjing liar ini, kita akan teliti pendekatan melakukan vaksinasi dan pemandulan anjing liar bagi mengawal populasi haiwan berkenaan, termasuk mengurangkan risiko penyakit termasuk rabies,” katanya.-UTUSAN











