Murid patah kaki: Guru KAFA, YIT diarah bayar ganti rugi  RM47,000

Murid patah kaki: Guru KAFA, YIT diarah bayar ganti rugi  RM47,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Mahkamah Tinggi di sini hari ini, membenarkan seorang remaja lelaki yang patah kaki kanan akibat dikasari guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) empat tahun lalu, menerima ganti rugi sebanyak RM47,000. 

Hakim Yusrin Faidz Yusoff memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan plaintif, Muhammad Izz Anaqi Mohd. Izwan yang kini berusia 13 tahun.

Yusrin Faidz mengarahkan dua defendan iaitu guru KAFA terbabit, Ahmad Mursyidin Abdullah, 41, dan majikannya, Yayasan Islam Terengganu (YIT) membayar ganti rugi am kecederaan RM30,000 beserta kos RM17,000 serta faedah terhadap remaja itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen di sini, yang sebelum ini menolak tuntutan Muhammad Izz Anaqi apabila mendapati hakim mahkamah berkenaan terkhilaf. 

“Beliau gagal menilai keterangan dua saksi mata dan menilai laporan perubatan pakar Hospital Sultanah Nurzahirah (HSNZ). Laporan perubatan itu mengesahkan kecederaan kaki murid (plaintif) tersebut akibat hentakan kuat,” katanya ketika membacakan penghakimannya.

Yusrin Faidz berkata, YIT sebagai majikan defendan pertama juga bertanggungjawab secara vikarius atas kecederaan dialami plaintif akibat perbuatan defendan pertama.

Berdasarkan penyataan tuntutan yang dikemukakan menerusi ibu plaintif, Nor Azlina Mohamad Yasin, 41, defendan pertama, Ahmad Mursyidin didakwa telah menghempas mangsa ke atas kerusi pada pukul 3.30 petang, 6 Julai 2022.

Muhammad Izz Anaqi tidak dapat berjalan pulang ke rumah selepas kelas telah dirujuk sebuah klinik swasta yang mengesahkan kaki kanannya patah berdasarkan imbasan x-Ray.

Plaintif yang kini merupakan pelajar sebuah maktab rendah sains Mara (MRSM) diwakili peguam Mohammad Rafaei Adnan, Mohd Hazwan Hamidun dan Alif Danial Ahmad Shahrulnizam.

Peguam Saifuddin Othman dan Yuhana Junaidi pula mewakili dua defendan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×