PETALING JAYA: Pemimpin Melayu yang berpegang teguh kepada ajaran Islam mampu menegakkan keadilan kepada semua kaum di negara ini.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, partinya merupakan mata rantai kesinambungan perjuangan untuk melaksanakan petunjuk Allah kepada manusia selepas tiada lagi para rasul dan selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW.
Beliau berkata, Pas berpegang kepada mazhab Sunni bahawa pemimpin negara Malaysia hendaklah daripada kalangan Melayu Islam, selain menolak perjuangan Pakatan Harapan (PH) yang didominasi DAP ekoran prinsip sekular yang didakwa dipegang parti itu.
Katanya, pegangan tersebut memisahkan politik daripada agama serta gagasan ‘Malaysian Malaysia’ tanpa rupa bangsa.
“Fahaman sekular berkonsepkan pemisahan politik daripada aqidah atau iman, menjadikan politik tidak mempunyai roh dan hanya berpandukan akal manusia semata-mata tanpa berpaksikan aqidah, khususnya keimanan kepada Allah dan hari akhirat.
“Fahaman ini dilihat gagal dalam memimpin masyarakat majmuk serta menangani salah laku seperti rasuah dan lain-lain. Tanpa menetapkan rupa bangsa yang bersifat luar tabii, ketetapan Allah akan dilihat bercanggah dengan fitrah manusia,” katanya dalam Minda Presiden Pas.
Abdul Hadi berkata, pemimpin hendaklah daripada kalangan Melayu yang berpegang teguh kepada Islam dan mempunyai pengaruh yang kuat bagi menjamin keadilan kepada semua.
Katanya, pemimpin berkenaan tidak bersikap fanatik terhadap perkauman seperti sesetengah bangsa lain dalam masyarakat majmuk, walaupun tidak mempunyai kuasa politik.
“Sikap ini dapat disaksikan dalam kehidupan masyarakat majmuk di Malaysia.
“Betapa kuatnya pengaruh Islam dalam masyarakat Melayu dapat dilihat apabila seseorang yang memeluk Islam dianggap menjadi Melayu, manakala apabila seseorang itu murtad, dia tidak lagi dianggap sebagai Melayu.
“Konsep keadilan untuk seluruh manusia merupakan perintah Allah. Pemimpin yang mendapat sokongan kuat daripada kaumnya diwajibkan menegakkan keadilan apabila berkuasa,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengkritik kerajaan dengan mendakwa pentadbiran hari ini mengamalkan pendakwaan terpilih sehingga berlaku diskriminasi dalam politik, pentadbiran, ekonomi, pendidikan dan lain-lain.
“Muhasabah bukan sahaja berlaku di dunia terhadap rakyat yang boleh ditipu dan dipaksa, khususnya dalam setiap kali pilihan raya. Bahkan, perlu diimani bahawa muhasabah berlangsung juga selepas mati hingga hari akhirat,” katanya.
Tambahnya, Pas menetapkan aqidah Islamiah dalam perlembagaannya.
“Bahkan, Islam ialah agama tertinggi dalam perlembagaan negara, yang ditafsirkan berdasarkan ayat-ayat al-Quran yang banyak serta sunnah amaliah (praktikal) Rasulullah SAW.
“Para pemimpin yang dicalonkan wajib berbaiah dan bersumpah dengan nama Allah untuk mematuhi kewajipan tersebut, sama ada menjadi kerajaan atau pembangkang,” katanya. – UTUSAN











