Jakarta Makling Tokoh Wira Pasukan Polis Marin

Jakarta Makling Tokoh Wira Pasukan Polis Marin

Tokoh Wira Pasukan Polis Marin
JAKARTA Makling menerima penghargaan dan dinobat sebagai Tokoh Wira Pasukan Polis Marin sempena Sambutan Peringatan Hari Ulang Tahun Ke-79 PPM di Markas Operasi PPM Wilayah 1, Pelabuhan Klang, di Klang, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Lapan kali bertempur, tiga lanun ditembak mati dan sebutir peluru tertanam di bahu kiri sejak 1976 menyebabkan Sub Inspektor (Bersara) Jakarta Makling, diangkat sebagai wira sempena Sambutan Peringatan Hari Ulang Tahun Ke-79 Pasukan Polis Marin (PPM) di sini, hari ini.

Jakarta 72, dinobat sebagai Tokoh Wira Pasukan Polis Marin 2026 selepas mempamerkan keberanian, ketegasan, kecekalan dan semangat juang tinggi sepanjang 40 tahun berkhidmat sebagai anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut bapa kepada enam orang anak itu, dia masih ingat kejadian tersebut pada Jun 1976 apabila terlibat secara langsung dalam pertempuran dengan kumpulan lanun bersenjata di Lahad Datu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya terkena tembakan dan mengalami kecederaan pada bahu kiri. Peluru 7.62 milimeter (mm) masih kekal ada sehingga ke hari ini. Ia tidak dapat dikeluarkan kerana akan menyebabkan kerosakan saraf, mungkin tangan saya tidak boleh berfungsi lagi.

“Selain kejadian tersebut, saya terlibat dalam lapan pertempuran, enam di Lahad Datu dan dua di Sandakan. Di Lahad Datu, saya menembah mati tiga lanun bersenjata,” katanya ketika ditemui pada sambutan tersebut di Markas Operasi PPM Wilayah 1, Pelabuhan Klang, di sini, hari ini.

Datuk kepada 13 orang cucu itu menambah, tragedi tersebut berlaku ketika dia berusia 23 tahun iaitu selepas empat tahun berkhidmat sebagai anggota keselamatan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, sambutan ulang tahun PPM bertujuan mempamerkan kekuatan dan komitmen pasukan itu dalam menjalankan tugas kepolisan di perairan negara.

Menurutnya, sejak Januari hingga bulan lalu, sebanyak 7,627 kes jenayah di perairan negara direkodkan melibatkan jumlah rampasan dan saman bernilai RM525 juta dengan tangkapan seramai 2,707 orang atas pelbagai kesalahan.

“Pencapaian itu merupakan hasil penguatkuasaan secara berterusan di perairan negara termasuk kawasan sempadan dalam pelbagai operasi (Op) berkala dan tidak seperti Op Taring Gelora, Op Taring Landai serta bersepadu dengan agensi lain.

“Keberkesanan tersebut turut disumbangkan menerusi kerjasama bilateral dan koordinasi rondaan bersama-sama agensi penguatkuasaan negara serantau seperti Thailand, Indonesia, Singapura dan Filipina,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×