Apa dosa Mustaqim dengan netizen - Erma Fatima - Utusan Malaysia

Apa dosa Mustaqim dengan netizen – Erma Fatima

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengarah dan penerbit, Erma Fatima hairan apabila ada netizen yang mempersoalkan tindakannya merakamkan gambar kenangan bersama penulis novel Kaisar, Mustaqim Jiwa.

Menurut Erma, Mustaqim hanya mempersembahkan novel yang ditulisnya tanpa sebarang niat untuk mempromosikan novel berkenaan.

“Apa masalah mereka dengan penulis itu, dia tiada dosa dengan netizen pun.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dia datang untuk membersembahkan novelnya kepada saya, siapa pun saya terima. Kalau ideanya bagus, dapatlah dijadikan filem atau drama.

“Saya terbuka terima novel sesiapa sahaja. Malah ramai yang datang menerangkan tentang novel mereka. Tapi kenapa penulis novel Kaisar itu yang menjadi mangsa. Apa dosa dia.

“Sudahkah anda membaca novel dia sehingga ada yang mengatakan novel dia sedemikian rupa. Itulah dia manusia, asyik nak menghukum sahaja,” katanya yang ditemui semasa majlis Tahlil Allahyarham Tun Hasmah yang berlangsung di Musolla Aisya, Setapak Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Erma memaklumkan dia mempunyai hak untuk memilih mana-mana novel untuk dijadikan drama atau filem.

“Suka hati saya untuk ambil novel itu atau tidak. Siapa mereka nak menghalang saya.

“Jika saya pilih Kaisar untuk dijadikan filem atau drama , itu hak saya. Buang masa mereka mengecam sebab saya tak akan baca Thread.

“Saya sebagai pengkarya mempunyai hak untuk memilih karya mana untuk dijadikan filem atau drama. Dan penonton mempunyai hak untuk menonton atau tidak karya tersebut. Kalau tak suka, jangan tengok atau komen,” kongsinya.

Erma dalam masa sama meminta agar netizen berhenti menghukum Mustaqim yang hanya menulis novel dan bukannya melakukan perkara negatif.

“Setidaknya budak itu menulis novel, bukan menulis komen yang buruk pasal orang lain. Dia ternyata lebih bijak berbanding orang yang mengecam novelnya.

“Anda tidak tahu apa-apa pasal novel itu, kemudian komen hanya kerana gatal tangan nak mengecam orang. Kan sudah menampakkan kebodohan anda.

“Setidaknya dia tidak melakukan perkara yang bukan-bukan, menagih dadah atau merempit. Siapa kita untuk menghukum dia,” kongsinya lagi.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×